CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) menyasarkan untuk mempercepat pertumbuhan di Malaysia dan Indonesia sebagai dua pasaran terbesarnya yang menyumbang lebih 80 peratus kepada keuntungan sebelum cukai (PBT) syarikat walaupun unjuran yang tidak menentu pada 2020.

Dalam laporan perbankan tahunan kumpulan itu bagi 2019, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selaku Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan ketika itu sebelum dilantik sebagai Menteri Kewangan pada awal bulan lepas berkata, CIMB akan terus memastikan aspirasi Forward23 akan kekal berada di landasan.

Laporan berkenaan merupakan laporan terakhir sebelum Tengku Zafrul dilantik membarisi Kabinet baharu.

Forward23 adalah strategi pertumbuhan jangka sederhana yang dilancarkan CIMB pada 2019 dengan memberi tumpuan kepada lima teras strategik iaitu berteraskan pelanggan, kemampanan, usaha dan kerjasama, teknologi dan data serta orang ramai.

"CIMB kini telah memulakan tahun kedua dalam meneruskan perjalanan Forward23 untuk tempoh lima tahun. Tumpuan kami pada tahun pertama ialah mewujudkan rangka kerja tadbir urus bagi memastikan pengawasan portfolio dan penyampaian Forward23.

"Kami telah melaksanakan beberapa langkah melibatkan lima strategik yang memacu ke arah rancangan Forward23," katanya.

Tengku Zafrul berkata pelaksanaan program Forward23 membabitkan lima strategik itu akan kekal menjadi keutamaan pada tahun ini.

Beliau berkata ini termasuklah memastikan manfaat kewangan direalisasi daripada halatuju Mentransformasi Perjalanan Pelanggan, memperkukuh daya tahan teknologi dan kestabilan platform, menentuukur semula perniagaan ke arah model berpacukan digital, memulakan program produktiviti berstruktur selain mengekalkan momentum usaha kemampanan syarikat.

Selain itu, beliau berkata, kumpulan itu juga akan terus meningkatkan lembaran imbangannya dengan berhati-hati dan mengawal kos dan pelaburan dengan lebih kukuh.

Menurut Tengku Zafrul, operasi di Malaysia menunjukkan prestasi baik bagi asas perniagaan seperti biasa (BAU) dengan PBT menokok lapan peratus pada 2019, didorong oleh pertumbuhan pinjaman yang kukuh sebanyak enam peratus, pendapatan perdagangan yang meningkat serta keuntungan jualan perniagaan ekuiti Malaysia, yang menyumbang 69 peratus kepada PBT kumpulan.

Sebaliknya, beliau berkata Indonesia mencatat penyusutan PBT sebanyak 20.2 peratus tahun ke tahun terutamanya disebabkan oleh peruntukan korporat yang lebih tinggi.

"Sebagai institusi kewangan yang beroperasi di 10 negara ASEAN, CIMB juga tidak terkecuali daripada mengharungi ketegangan makroekonomi.

"Bagaimanapun, di sebalik cabaran berkenaan, kumpulan ini mampu menangani ketidaktentuan itu dan memenuhi sasaran utama bagi 2019," katanya.

Sementara itu, beliau berkata dalam tempoh hanya dua bulan melangkah ke 2020, kumpulan ini telah berdepan pelbagai kejutan makro dengan keadaan paling serius adalah membabitkan penularan COVID-19.

Beliau berkata impak COVID-19 ke atas aktiviti-aktiviti ekonomi telah dirasai di seluruh dunia dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar di peringkat global dijangka berkurangan sebanyak 0.2 mata peratusan.

"Dengan berakhirnya tahun pertama bagi Forward23, kami akan terus mengekalkan momentum dan berhasrat mencapai kejayaan bagi semua sasaran pertumbuhan jangka sederhana walaupun prospek yang tidak menentu disebabkan COVID-19 yang berlanjutan, selain cabaran sosio-politik dan makroekonomi," katanya.

-- BERNAMA