Aktiviti ekonomi di Amerika Syarikat (AS) dilihat perlahan dalam beberapa minggu belakangan ini ketika dunia dilanda peningkatan COVID-19.

Dalam masa sama, proses pembukaan semula ekonomi di AS mungkin akan mengambil masa lebih panjang daripada apa yang dijangka.

Menurut Presiden The Fed Cleveland, Loretta Mester yang dipetik Reuters, ketika ini ada negeri yang terpaksa menangguhkan proses pembukaan semula perniagaan berikutan pelaksanaan semua perintah sekatan.

“Ini susulan peningkatan semula kes COVID-19 di beberapa negeri dan kawasan berkenaan. Situasi ini telah mengakibatkan pengguna terpaksa mengurangkan perbelanjaan mereka,” katanya.

Menurut Mester, berdasarkan data terkini, perbelanjaan pengguna untuk perkhidmatan termasuk pelancongan dan makan di luar kekal di bawah paras sebelum COVID-19.

Mester juga menjangkakan kadar pengangguran akan kekal di atas sembilan peratus pada akhir 2020 dan ekonomi AS akan menguncup enam peratus tahun ini.

Ketika ini AS mencatatkan 4.8 juta kes COVID-19 dengan lebih 157,000 kematian.

Pada 4 ogos, sejumlah 51,000 kes baru COVID-19 dicatatkan di AS dengan trend kes baharu menurun daripada tertinggi 75,000 kes pada 17 Julai.