BANK pusat Amerika Syarikat, The Fed, potong kadar faedah sebanyak 1.00 peratus kepada 0-0.25 peratus.

Dalam masa sama, The Fed akan meningkatkan pembelian bon kerajaan sehingga AS$700 bilion untuk meningkatkan kecairan dalam ekonomi ketika berdepan penularan COVID-19.

Bank pusat itu melaporkan penularan COVID-19 akan beri kesan kepada aktiviti ekonomi dalam masa terdekat dan mengancam unjuran ekonomi AS.

The Fed turut mengurangkan nisbah keperluan simpanan kepada hampir sifar.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan lewat Ahad di AS, The Fed bersedia untuk menggunakan segala strategi untuk menyokong aliran pinjaman kepada isi rumah dan perniagaan untuk mencapai sasaran kadar pengangguran yang rendah dan kestabilan harga.

Tambahnya, ia akan kekalkan kadar faedah rendah sehingga ia yakin ekonomi AS telah berjaya tempuhi situasi semasa.

Keputusan ini dibuat sehari sebelum pemimpin daripada tujuh negara Group of Seven dijadualkan mengadakan perbincangan untuk menetapkan respons bersama kepada penularan COVID-19.

Kadar terakhir The Fed menurunkan kadar faedah adalah pada dua minggu lepas sebanyak 0.5 peratus.