Kementerian Industri Utama sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan dana penstabilan biobahan api bagi menggalakkan penggunaan bahan biodiesel.

Menterinya, Teresa Kok Suh Sim, berkata perkara tersebut masih dalam proses perbincangan dan kementeriannya perlu berbincang dengan agensi serta kementerian kerajaan lain sebelum idea tersebut dilaksanakan.

“Dana ini bertujuan untuk menstabilkan harga biodiesel supaya tidak turun naik dengan terlalu ketara, seperti harga minyak kelapa sawit sekarang yang sedang meningkat, kerana harga diesel masih rendah dan berpatutan.

“Jika ia terus meningkat, harga minyak kelapa sawit akan menjadi mahal untuk rakyat.

“Oleh itu, langkah ini adalah untuk menstabilkan harga supaya ia dapat menawarkan harga yang lebih menarik kepada pengguna,” kata Kok pada sidang media majlis pelancaran Forum Perniagaan Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit di Hotel Everly Putrajaya pada Selasa.

Tambahnya, idea untuk memperkenalkan dana tersebut sudah dibentangkan pada mesyuarat kabinet baru-baru ini.

“Pada masa ini, kita sudah membentangkan idea ini dan kita perlu mengadakan perbincangan yang lebih mendalam dengan kementerian dan agensi lain untuk menentukan cara terbaik untuk melaksanakannya.

“Penubuhan dana ini sudah dilakukan di Indonesia dan Thailand dan Malaysia boleh merujuk dan mencontohi cara pelaksanaan kedua-dua negara ini.

“Bagaimanapun, kementerian saya perlu mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Kewangan, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta kementerian lain,” tambahnya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu boikot minyak kelapa sawit oleh Kesatua Eropah (EU) menjelang tahun 2030, Kok berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Indonesia dan Columbia pada mesyuarat Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) di Jakarta, Indonesia pada akhir bulan ini.