Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking mengajak syarikat di Chile memanfaatkan Malaysia sebagai tempat mengembangkan perniagaan dan mempelbagaikan produk kepada perkakasan elektrik, makanan dan minuman, pembungkusan, logistik dan gaya hidup.

Selain menjemput mereka menyediakan wakil atau pejabat serantau di Malaysia, Darell juga meminta mereka meneroka saluran dari Malaysia selain melawat pameran berkaitan perdagangan dan bertemu pembekal Malaysia yang berpotensi pada mesyuarat perniagaan pra atur.

Beliau menyampaikan jemputan itu pada Isnin ketika mesyuarat bersama syarikat-syarikat di Santiago, Chile persinggahan pertamanya bersempena misi perdagangan dan pelaburan selama lima hari ke Amerika Latin susulan penyertaannya dalam mesyuarat Menteri-menteri APEC yang Bertanggungjawab bagi Perdagangan, pada 17 hingga 18 Mei di Valparaiso, Chile.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan pada Rabu, syarikat-syarikat itu terdiri daripada sektor peruncitan, minyak sawit, peranti perubatan dan pakai buang serta perabot.

Darell turut mengadakan mesyuarat bersama Dewan Perniagaan Chile-Malaysia dan Dewan Bahagian dan Komponen Automotif.

"Mesyuarat itu turut meneroka peluang untuk menambah baik hubungan perdagangan dan pelaburan dalam pelbagai sektor termasuk automotif, penyelesaian mudah alih teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Objek Rangkaian Internet dan industri halal. Mereka turut membincangkan kebimbangan utama yang dihadapi kedua-dua pihak," menurut MITI.

Jumlah dagangan dengan Chile pada 2018 berjumlah RM1.32 bilion (US$0.33 bilion), dengan eksport Malaysia ke Chile berjumlah RM0.81 bilion (US$0.20 bilion) dan import bernilai RM0.51 bilion (US$0.13 bilion).

Lebih 60 peratus daripada eksport ke Chile disumbangkan oleh bahan kimia dan produk kimia, produk getah, produk kayu, produk elektrik dan elektronik selain produk minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit.

Selain itu, lebih 60 peratus daripada import Chile merupakan bijih metalliferous dan logam lusuh, makanan laut segar, sejuk atau beku, produk kertas dan pulpa.

-- BERNAMA