DRB-HICOM Bhd akan menjual 49.9 peratus daripada pegangannya di dalam syarikat kereta nasional, Proton Holdings Bhd kepada syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd (Geely Holding).

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mengumumkan perkara itu dalam satu majlis petang ini berkata, walau bagaimanapun, DRB-HICOM masih memegang 50.1 peratus pegangan dalam Proton dan Proton akan tetap menjadi kereta nasional dan kebanggaan negara.

Beliau turut berkata Proton akan menjual keseluruhan ekuitinya dalam Lotus, kepada Geely, untuk menjuarai jualan jenama tersebut di United Kingdom.


Johari berkata dengan rakan kongsi strategik asing (FSP) ini antara yang boleh dicapai adalah meningkatkan nilai jenama dan keyakinan pengguna.

“Juga kita boleh mendapatkan akses kepada teknologi terkini serta keupayaan untuk mengakses pasaran yang lebih besar di luar Malaysia,” kata beliau.

Tambahnya, kerjasama seperti ini bukanlah suatu perkara yang baru dalam dunia automotif.

Dalam majlis yang sama, DRB-HICOM dan Geely Holding menandatangani perjanjian tersebut di hadapan Johari.

Pencarian rakan kongsi Proton bermula tahun lalu, selepas ia menerima suntikan pinjaman RM1.5 bilion daripada kerajaan pada April 2016, dengan syarat ia melaksanakan pelan pemulihan dan mencari rakan kongsi asing untuk membantu dalam penyelidikan dan pembangunan.

Proton ditubuhkan pada 1983 oleh perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang meletak jawatan sebagai penasihatnya pada Mac 2016 selepas beliau bertindak keluar daripada Umno.

Syarikat itu kemudiannya diswastakan pada 2012, sebelum diambil alih DRB-Hicom – sebuah konglomerat dikawal jutawan Malaysia, Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary.