Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang kepada 5.2 peratus pada suku pertama 2019, selepas dasar dan hala tuju kerajaan baharu lebih jelas pada akhir tahun, kata ahli ekonomi.

Profesor Mahendhiran Nair, Naib Presiden Penyelidikan dan Pembangunan Monash University Malaysia, berkata dengan dasar yang lebih jelas dijangka di bawah Bajet 2019 yang akan dibentangkan pada 2 Nov, dan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dijadual dibentangkan pada pertengahan Oktober, langkah-langkah ini akan dapat membantu memacu KDNK negara kepada antara lima dan 5.2 peratus pada suku pertama tahun depan.

"Bagaimanapun, ini berdasarkan tiada perang perdagangan pada skala besar berlaku dalam arena global," katanya kepada Bernama di luar pelancaran Kaji Selidik Sentimen Perniagaan Malaysia 2018/2019.

Kaji selidik itu dilaksanakan oleh Monash University Malaysia dengan kerjasama Akauntan Awam Bertauliah (CPA) Australia dan Global Asia in the 21st Century Research Platform dari Januari hingga Julai tahun ini.

Mengulas mengenai semakan semula unjuran KDNK 2018 negara oleh Bank Negara Malaysia kepada lima peratus baru-baru ini, Mahendhiran, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Monash Malaysia Research and Development Sdn Bhd, berkata ini dipengaruhi oleh ketidaktentuan dalam persekitaran global, terutamanya kebimbangan mengenai perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

"Bagaimanapun, saya percaya selagi kerajaan terus menyediakan insentif yang sesuai bagi syarikat meningkatkan rantaian nilai mereka, memperkenalkan lebih banyak dasar mesra perniagaan, membina lebih banyak infrastruktur teknologi, dan membuka peluang pasaran serantau kerajaan kepada kerajaan (G2G) dalam ASEAN, dengan China atau India, langkah ini akan meningkatkan keyakinan perniagaan dan pelabur, seterusnya memacu pertumbuhan KDNK," katanya.

Turut bersetuju dengan pandangan Mahendhiran, Timbalan Ketua Pengajian dan Pengarah Penyelidikan di Monash University Malaysia, Profesor Pervaiz Ahmed, berkata tumpuan kerajaan dalam memerangi rasuah juga memainkan peranan penting untuk mewujudkan keyakinan yang kukuh dalam kalangan perniagaan.

"Daripada pandangan pelabur, mereka mahu sistem yang terbuka dan telus, dan apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan sekarang adalah melaksanakan semua itu dan mewujudkan tahap ketelusan, yang akan memberi kepercayaan lebih kukuh kepada syarikat untuk melabur di Malaysia," katanya.

Mengenai impak perniagaan daripada pelaksanaan gaji minimum yang akan dilakukan secara berperingkat, Mahendhiran berpendapat menggunakan teknologi merupakan strategi paling berkesan untuk mengatasi kenaikan kos untuk menjalankan perniagaan.

"Berdasarkan pengalaman dari negara maju, syarikat di negara tersebut menggunakan teknologi untuk mengurangkan kos mereka dalam menjalankan perniagaan apabila gaji minimum meningkat.

"Daripada Kaji Selidik Sentimen Perniagaan 2018/2019 kami juga, turut menunjukkan melabur dalam teknologi adalah strategi masa depan untuk memacu kecekapan kos dalam menjalankan perniagaan," katanya.

Kaji selidik itu turut menunjukkan kebimbangan terbesar dalam kalangan perniagaan tempatan adalah kenaikan kos untuk menjalankan perniagaan berikutan ia akan memberi kesan kepada keuntungan mereka.

"Isu utama yang kedua ialah ringgit lemah, yang akan memberi impak kepada syarikat yang bergantung kepada barangan import untuk proses pengeluaran mereka," katanya.

Di sebalik kebimbangan mengenai pertumbuhan, kaji selidik itu, yang meliputi 416 syarikat besar, sederhana dan kecil di Malaysia, menunjukkan 71 peratus daripada responden terus yakin dengan prospek perniagaan mereka dalam tempoh 12 bulan akan datang.

"Keyakinan ini sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan pelaburan infrastruktur, terutamanya dalam infrastruktur berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi, selain penggunaan teknologi Industri 4.0 yang lebih baik," katanya.

-- BERNAMA