Ekonomi Malysia dijangka kekal berdaya tahan pada 2017, disokong penggunaan swasta yang stabil serta terbitan bon korporat yang kukuh, kata Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC).

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Razlan Mohamad berkata, ini terbukti dengan pemulihan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku akhir 2016 pada 4.5 peratus dan disokong turun naik penggunaan swasta yang rendah berbanding ekonomi serantau.

"Pelaburan swasta juga pulih, disokong pelaksanaan projek infrastruktur besar seperti Transit Aliran Massa 2 Lembah Klang, Transit Aliran Ringan 3 dan projek Pembangunan Bersepadu Kilang Penapisan Minyak dan Petrokimia," katanya pada taklimat media sempena Persidangan Ekonomi dan Pelabur Prospek Sektoral Malaysia 2017 di sini, hari ini.

Mohd Razlan berkata, iklim pelaburan yang stabil juga terbukti daripada jumlah penerbitan bon korporat yang berterusan kira-kira RM85 bilion setahun sejak empat tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau berkata, MARC meramalkan prestasi sektor luaran Malaysia akan terus memberi tekanan ke atas pertumbuhan.

Ini termasuk permintaan global kurang memberangsangkan yang menyebabkan eksport dari segi dolar US mencatat pertumbuhan negatif dan pertumbuhan di bawah trend ekonomi China, iaitu rakan kongsi terbesar perdagangan Malaysia terbesar.

"Kemungkinan perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat mungkin mendorong China untuk terus menurunkan nilai mata wangnya, dengan itu menjejaskan pengeksport Asia seperti Malaysia," kata Mohd Razlan.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi agensi penarafan itu, Nor Zahidi Alias berkata, pemulihan berterusan harga minyak mentah global adalah positif untuk ekonomi Malaysia tahun ini, dengan itu meningkatkan pendapatan kerajaan dan menambah baik sentimen perniagaan keseluruhannya.

"Di pasaran domestik, perbelanjaan pengguna kekal tunggak ekonomi pada 2017, walaupun pertumbuhan dijangka kekal di bawah trend pertumbuhan jangka panjang.

"Permintaan domestik akan kekal menjadi sumber utama pertumbuhan manakala risiko kejatuhan utama kepada ramalan kami akan berpunca daripada persekitaran luaran," tambahnya.

Menurutnya, daripada perspektif penarafan negara, parameter makro ekonomi median Malaysia akan kekal seiring dengan negara-negara A tunggal di mana termasuk pertumbuhan KDNK sebenar, KDNK per kapita dan pariti kuasa beli, terma dan jumlah rizab antarabangsa dalam dolar US.

Agensi penarafan tu juga telah menaik taraf pertumbuhan KDNK Malaysia daripada 4.0 peratus kepada 4.3 peratus tahun ini, terutama disebabkan kestabilan permintaan domestik serta permintaan luar yang berdaya tahan.

-- BERNAMA