Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Bisnes

Ekonomi Singapura berkembang 0.7 peratus pada 2019

Ekonomi Singapura berkembang 0.7 peratus pada 2019
Ekonomi Singapura berkembang 1.0 peratus tahun ke tahun dalam suku keempat, lebih pantas berbanding pertumbuhan 0.7 peratus pada suku ketiga. - Gambar fail
SINGAPURA: Ekonomi Singapura berkembang sebanyak 0.7 peratus pada 2019, lebih rendah berbanding pertumbuhan 3.4 peratus yang dicatatkan pada 2018, kata Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi 2020, MTI berkata, ia menurunkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020 kepada -0.5 hingga 1.5 peratus dengan pertumbuhan dijangka berada sekitar 0.5 peratus, pada pertengahan jajaran unjuran itu.
Ekonomi Singapura berkembang 1.0 peratus tahun ke tahun dalam suku keempat, lebih pantas berbanding pertumbuhan 0.7 peratus pada suku ketiga.

Bagi keseluruhan 2019, MTI berkata sektor pembuatan menguncup sebanyak 1.4 peratus, susut daripada pertumbuhan 7.0 peratus pada 2018.
Prestasi sektor itu menerima kesan daripada penurunan pengeluaran dalam elektronik, kimia, kejuruteraan kejituan dan kluster kejuruteraan pengangkutan, kata kementerian berkenaan.

Sektor pembinaan meningkat sebanyak 2.8 peratus, pemulihan daripada penurunan 3.5 peratus pada 2018 disokong oleh kerja-kerja pembinaan dalam sektor awam dan swasta.

Industri perkhidmatan berkembang sebanyak 1.1 peratus menyederhana daripada pertumbuhan 3.4 peratus pada 2018.

Pertumbuhan itu dipacu terutamanya daripada sektor kewangan dan insurans, perkhidmatan lain dan perkhidmatan perniagaan, yang masing-masing berkembang sebanyak 4.1 peratus, 2.6 peratus dan 1.4 peratus.

Mengenai prospek ekonomi bagi 2020, MTI berkata dengan mengambil kira persekitaran ekonomi global dan domestik, pertumbuhan KDNK bagi tahun ini diturunkan kepada "-0.5 hingga 1.5 peratus".

Pada November 2019, MTI mengumumkan unjuran pertumbuhan KDNK "0.5 hingga 2.5 peratus" bagi 2020.

MTI berkata unjuran itu berdasarkan kepada peningkatan sederhana pertumbuhan global selain pemulihan dalam kitaran elektronik global pada 2020.

Menurut kementerian itu, prospek bagi ekonomi Singapura lemah sejak kali akhir disemak semula pada November, disebabkan terutamanya penularan COVID-19 yang dijangka menjejaskan ekonomi menerusi tiga saluran.

Satu daripadanya adalah sektor beroreintasikan luaran seperti pembuatan dan perdagangan borong yang dijangka terjejas disebabkan prospek pertumbuhan lemah di beberapa pasaran permintaan akhir utama Singapura termasuk China.

Selain itu, penularan wabak tersebut juga telah menyebabkan penurunan mendadak kedatangan pelancong ke negara tersebut terutamanya dari China.

"Ini menjejaskan dengan teruk pelancongan - hotel, ejen pelancongan dan pengendali kapal persiaran - serta pengangkutan," kata kementerian itu.

Bagaimanapun, MTI berkata masih terdapat beberapa sektor yang akan memberikan kekuatan kepada ekonomi Singapura termasuk sektor pembinaan serta maklumat dan komunikasi

Memandangkan wabak COVID-19 masih lagi menular, MTI berkata ia akan terus memantau dengan rapat pekembangan dan impaknya terhadap ekonomi Singapura.

-- BERNAMA


Tag: KDNK, Singapura, ekonomi, pelancongan, China, Kementerian Perdagangan dan Industri, MTI Singapura, Ekonomi Singapura



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.