Xiddig Cellular Communications Sdn Bhd kini dalam proses melaksanakan Projek Gerbang Internet Antarabangsa Enchanced Malaysia (EM-IIG) atau EMIIG150 Terabait bernilai RM26 bilion yang dijangka selesai menjelang tahun 2022.

Projek dengan kerjasama Interconnection Commercial and Contracting Establishment (ICCE) itu bakal menjadi projek hubungan dasar laut terbesar dunia dengan kelajuan Internet terpantas.

Pengerusi Eksekutif Xiddig Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahim berkata, kerjasama itu akan menggunakan laluan Hong Kong ke Malaysia yang melibatkan kos sebanyak USD1 billion sebelum ke India, Sri Lanka seterusnya ke Jeddah.

"Semua kos ini dianggarkan dalam USD5 billion.

"Dari segi pembiayaan projek pula, kami akan menggunakan pembiayaan tersendiri dan berurusan dengan Ketua Pegawai Eksekutif ICCE Dr Awad Othman Alassaf.

"Bagi Malaysia sahaja, Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) di bawah presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah. Di Arab Saudi, kita akan berurusan dengan syarikat di sana," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MOU) antara kedua-dua syarikat itu di sini hari ini.

Di bawah MoU ini, Xiddig akan menjadi kontraktor dan rakan niaga untuk memasangkan 6,000 kilometer (km) kabel fiber optik dari Kuala Lumpur ke Jeddah.

Kabel dasar laut itu berpaut terus kepada kabel dasar laut antarabangsa sekaligus tidak menjejaskan keselamatan dan integriti perairan negara-negara yang dilalui.

Ia juga merupakan kabel fiber-optik dasar laut terbesar dunia merentasi banyak sempadan antarabangsa bermula dari Malaysia ke Mekah dan Madinah menerusi India.

Ia dijangka dapat meningkatkan tahap capaian internet yang lebih berkesan dan mapan kepada rakyat dan pengguna tempatan malahan kepada pelancong yang berkunjung ke Arab Saudi.

Majlis MOU ini disaksikan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan dan Naib Ketua UMNO bahagian Petaling Jaya Selatan Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim selaku pemerhati projek.