Tutup

Berita  | Bisnes

Faktor luaran dijangka jejaskan ringgit minggu depan

Faktor luaran dijangka jejaskan ringgit minggu depan
Sekiranya pasaran dipenuhi persepsi bahawa Fed tidak berhasrat menurunkan lagi kadar faedah selanjutnya, ini akan melonjakkan dolar US dan memberi tekanan kepada mata wang Asia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka menyaksikan dagangan lebih lemah pada minggu depan, dipengaruhi oleh faktor luaran termasuk penyusutan nilai mata wang serantau serta ekonomi China yang lebih perlahan.

Penganalisis Pasaran FXTM Han Tan berkata pengumuman China mengenai keuntungan diraih industrinya pada Ogos, dijangka sekali lagi membuktikan impak perang perdagangan yang berlanjutan antara negara itu dengan Amerika Syarikat (AS).
"Impak atau bukti selanjutnya mengenai kelembapan berterusan ekonomi kedua terbesar di dunia boleh menjejaskan sentimen risiko manakala kelemahan yuan akan turut memberi kesan terhadap mata wang Asia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, para pelabur akan turut mengikuti rapat ucapan atau ulasan pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) selain data ekonomi AS yang akan datang bagi membolehkan mereka memperkukuh unjuran terhadap prospek dasar monetari negara itu.
"Sekiranya pasaran dipenuhi persepsi bahawa Fed tidak berhasrat menurunkan lagi kadar faedah selanjutnya, ini akan melonjakkan dolar US dan memberi tekanan kepada mata wang Asia," katanya.

Beliau berkata paras sokongan segera ringgit pada RM4.20 diikuti RM4.23 berbanding dolar US manakala rintangan segera diunjur sekitar RM4.16 sekitar purata pergerakan selama 50 dan 100 hari dan disusuli dengan paras RM4.14.

Sementara itu, Strategis Pasaran Asia-Pasifik Axi Trader, Stephen Innes berkata sentimen terbukti masih belum meningkat sejak pengumuman Rizab Persekutuan AS menurunkan kadar faedah pada Rabu manakala peniaga lebih memberi tumpuan terhadap hala tuju Fed.

"Selepas tamatnya mesyuarat Fed sejak 36 jam lepas, saya tidak merasakan pasaran mendapat gambaran lebih jelas mengenai impak sesi (mesyuarat) itu," katanya.

Malah, jelasnya, ketidaktentuan dasar bukanlah sesuatu yang bermanfaat dari segi risiko dan kemungkinan menjejaskan sentimen pelabur.

"Bagaimanapun, tanpa jualan agresif setakat ini, adalah selamat untuk menyatakan bahawa pelabur lebih selesa jika Fed mempunyai dasar yang lebih longgar," katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah dan seiring dengan prestasi mata wang serantau di tengah-tengah pengukuhan dolar US walaupun pihak Fed menurunkan kadar faedah.

Ringgit mengakhiri minggu ini dengan lebih rendah pada paras 4.1680/1720 berbanding dolar US daripada 4.1630/1660 pada Jumaat lepas.

Ia turut diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama dunia, kecuali yen dan pound Britain.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0297/0337 daripada 3.0318/0345 namun susut berbanding dengan yen Jepun kepada 3.8589/8637 daripada 3.8550/8581.

Selain itu ringgit lemah berbanding pound Britain kepada 5.2196/2254 daripada 5.1829/1883 tetapi mengukuh berbanding euro kepada 4.6040/6101 daripada 4.6205/6255, sebelum ini.

Pasaran ditutup pada Isnin bersempena cuti umum Hari Malaysia.

-- BERNAMA