Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Negeri Sembilan hari ini memeterai perjanjian jual beli dengan empat pengusaha tanaman jagung di negeri ini.

Pengarah Fama negeri Muslim Manja berkata perjanjian itu untuk membekalkan 2.5 juta tongkol jagung manis bagi jualan pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2016) yang akan berlangsung di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor, pada 1 hingga 11 Disember ini.

Katanya pengusaha yang terlibat ialah Koperasi Agropreneur Negeri Sembilan Berhad, Persatuan Penanam Jagung Kuala Pilah, KHKM Enterprise serta pengusaha individu, Mohamad Fitree Harun dan Siti Nur Fatihah Mat Salleh.

"Negeri Sembilan dipilih sebagai pembekal jagung berikutan negeri ini diiktiraf sebagai hab pengeluaran jagung di negara ini.

"Tempoh perjanjian itu mulai 30 November hingga 10 Disember," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri di Senawang, dekat sini hari ini.

Ia dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan yang mewakili Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Muslim berkata Negeri Sembilan merupakan pengeluar jagung yang terbesar di negara ini dengan keluasan 145 hektar melibatkan 24 pengusaha.

Katanya lokasi utama untuk tanaman jagung di negeri ini ialah Kuala Pilah, Rembau dan Jempol. - BERNAMA