Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Abdul Samad tidak menolak kemungkinan bahawa akan berlaku rombakan di dalam sistem pentadbiran Felda.

Jelasnya, langkah itu dilihat sesuai selain membantu beliau untuk membawa kembali matlamat asal Felda yang berfokuskan kepada kesejahteraan serta kedudukan Felda bagi memastikan Felda terus kukuh pada masa hadapan.

Beliau menegaskan pertemuan antara Ketua Pengarah dan pegawai Felda akan diadakan pada 8 Januari bagi membincangkan penstrukturan semula Felda.

BACA: Felda lantik Sharir Abdul Samad sebagai pengerusi

“Rombakan dan penyusunan semula ini mestilah untuk tujuan tertentu dan tujuannya ialah untuk mengembalikan kedudukan kesejahteraan warga Felda dan menyelesaikan masalah warga Felda yang sudah wujud dalam Felda, seperti cara pendapatan mereka, beban hutang mereka, dan juga kerana soal perumahan untuk generasi kedua yang walaupun sudah siap tapi masih lagi belum diduduki,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Johor Bahru, di sini hari ini.

Rombakan dijangka akan melibatkan beberapa peringkat termasuk pengurusan Felda dengan melantik nama baharu sebagai ahli Lembaga Pengarah Felda.

Selain itu antara pendekatan awal beliau, termasuk turun ke kawasan rancangan-rancangan.

Shahrir menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang tamat tempoh sebagai Pengerusi pada 31 Disember lepas.