Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan empat insentif bagi memaju dan menarik pelaburan asing di Forest City, sebuah perbandaran moden di atas pulau buatan di Iskandar Malaysia.

Beliau turut mengyistiharkan Forest City sebagai Status Kawasan Bebas Cukai.

Kata Najib, langkah-langkah itu dilaksanakan bagi menjayakan projek Forest City berdasarkan pelan induk serta sasarannya untuk menjadi bandar pintar dan hijau.

"Pertama Status Kawasan Bebas Cukai (Duty Free Area Status)untuk memacu aktiviti perniagaan dan pelancongan untuk keempat-empat buah pulau. Kedua, Galakan cukai korporat untuk Pemaju Hijau dan Pengurus Pemaju Hijau.

“Ketiga, galakan cukai korporat untuk pengusaha sektor perkhidmatan yang layak, ataupun syarikat bertaraf Iskandar Development Region (IDR, dalam sektor pelancongan, kesihatan dan pendidikan.

"Keempat, tiada kekangan/syarat ekuiti untuk pemegang saham asing dalam syarikat-syarikat yang layak menikmati galakan cukai korporat di atas," ujar Najib semasa berucap merasmikan projek Forest City di sini hari ini.

Jelasnya, meskipun berhadapan dengan ekonomi mencabar, namun beliau optimis projek Forest City mampu menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI) sebanyak RM175 bilion.

Ia juga dijangka mampu menawarkan lebih 220,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dalam sektor yang mempunyai nilai tambah tinggi seperti kewangan dan e-commerce.

Forest City merupakan pulau buatan seluas 1,370 hektar, terletak di antara Johor dan Singapura.

Ia memperuntukkan pelaburan sebanyak US$40 bilion dalam tempoh 20 tahun.

Forest City juga adalah campuran pembangunan kediaman dan komersial terbesar di Asia Tenggara, menggabungkan konsep hijau dan pintar meliputi pelbagai perspektif seperti pengangkutan, perbandaran dan guna tenaga.

Najib berkata pembangunan Forest City juga selari dengan Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Malaysia 2025 yang beliau dan Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled, lancarkan Disember lepas.

"Ia juga dapat mengurangkan pelepasan gas rumah kaca dengan ketara dan memulihara ekosistem kawasan daratan dan air serta pesisir pantai, dan menjamin kehidupan marin yang lebih baik," katanya.

Pelan tersebut melibatkan lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah kendalian Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) di Iskandar Malaysia.