Bekas Peguam Negara Tan Sri Gani Patail serta beberapa lagi individu wakil agensi kerajaan akan mengetuai sebuah Pasukan Khas Siasatan 1MDB bagi menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau bersama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Sri Mohd Shukri Abdull, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan ekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas PDRM Datuk Abdul Hamid bin Bador telah diberi arahan dan mandat oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menggalas tanggungjawab ini bagi memastikan hasil siasatan kes 1MDB akan dilakukan dalam jangka masa terdekat.

"Keanggotaan Pasukan ini akan terdiri daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, Polis DiRaja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan beberapa orang peguam yang mempunyai kepakaran dalam perkara berkaitan," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pasukan khas ini akan bertanggungjawab dalam keseluruhan aspek penyelarasan siasatan, pengesanan kewangan dan perolehan aset yang berpunca dari salah laku dan penyelewengan dana 1MDB yang tersimpan atau dilaburkan di dalam dan luar negara.

Selain itu, mereka juga diutuskan untuk mendapatkan kerjasama dengan pelbagai pihak agensi penguatkuasaan Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Kanada dan lain-lain negara yang berkaitan.

"Kerajaan berharap penubuhan Pasukan Khas ini dengan penglibatan pelbagai agensi penguatkuasaan yang terlibat akan berupaya mengembalikan maruah negara yang telah tercemar selama ini di samping mengembalikan wang dan aset rakyat Malaysia berikutan skandal kleptokrasi hasil salah laku dan penyelewengan dana 1MDB," kata kenyataan itu lagi.