Gaji RM2,100 sehingga RM2,500 tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan bulanan.

Ini keluhan lepasan universiti dalam mencerminkan realiti sebenar berkenaan kesusahan anak muda Malaysia pada masa ini untuk menyara diri serta mendapatkan gaji tinggi.

Gaji tidak mencukupi: Graduan dinasihat 'ukur baju di badan sendiri'


Ini respon beberapa majikan di Malaysia ketika ditemui Astro AWANI pada Khamis.

Datuk Chang Khim Wah, Ketua Pegawai Eksekutif Eco World

Menurut Khim Wah, syarikatnya memberi keutamaan dalam membayar gaji yang relevan bagi pekerjanya.

"Gaji permulaan bagi graduan di syarikat kami ialah RM3,500. Adakah ia mencukupi atau tidak, saya tidak pasti. Tetapi saya berpendapat bahawa, sebagai permulaan ia merupakan satu motivasi.

"Keutamaan kami ialah untuk menarik bakat baharu. Kami tidak memberikan fokus kepada jenis ijazah. Graduan hanya memerlukan perwatakan yang sesuai dengan syarikat kami," tambahnya.


Pekerja
""Keutamaan kami ialah untuk menarik bakat." - Datuk Chang, Ketua Pegawai Eksekutif Eco World

Shareen Shariza Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp)

Terdapat beberapa elemen seperti lokasi pekerjaan harus dinilai sebelum menentukan gaji pekerja, kata Shareen.

"Beberapa kawasan di Malaysia mempunyai kos sara hidup tinggi, tetapi ada juga kawasan di mana kos sara hidupnya rendah.

"Kita harus lihat kawasan bandar serta luar bandar dan lihat bagaimana kita boleh menyesuaikan gaji pokok graduan.

"Bergerak ke hadapan, kita harapkan gaji pokok kerja pertama melepasi RM2,500 dan mencecah RM3,000," kata Shareen.

Prashant Chadha, Pengarah Urusan Aon Hewitt Malaysia

Majikan harus memberi motivasi kepada pekerjanya dengan menawarkan ganjaran.

"Kita harus lihat dari segi potensi dan prestasi. Pastikan pekerja anda diberitahu bahawa jika mereka bekerja keras dan melakukan pekara yang memanfaatkan syarikat, mereka akan diberi ganjaran. Majikan tidak seharusnya hanya fokus kepada gaji pokok," kata Prashant, ketika ditemui selepas majlis penganugerahan Majikan Terbaik Malaysia 2016 di sini hari ini.

Sydney Quays, Pengarah Urusan Starbucks Malaysia dan Brunei

Menurut Sydney, kecukupan gaji RM2,500 sebulan bagi graduan adalah subjektif.

Graduan sepatutnya melihat kerja pertamanya sebagai satu pakej dan tidak hanya menfokuskan ganjaran gaji.

"Graduan harus melihat peluang pertumbuhan, peluang yang diberikan syarikat tersebut dan tidak hanya fokus kepada gaji.

"Bagi saya, peluang pertumbuhan serta gaji merupakan pakej yang ditawarkan majikan," kata Sydney.