Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Nasional yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Maalysia hari ini menetapkan sebanyak RM2,208 bagi tahun 2019 berbanding RM980 sebulan pada 2016.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata angka tersebut merupakan nilai PGK baharu yang diperolehi setelah kerajaan mengkaji semula metodologi pengiraan yang digunakan pakai sejak 2005.

Jelas beliau, usaha penambahbaikan kaedah pengukuran kemiskinan tersebut bermula daripada pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMKe-11) pada 18 Oktober 2018.

Bertitik tolak dari itu, Mustapa memaklumkan kerajaan telah mengkaji semula metodologi penetapan PGK supaya ia lebih menggambarkan corak perbelanjaan dan keperluan serta demografi semasa isi rumah, seiring dengan kemajuan yang dicapai oleh negara sejak tahun berkenaan.

“Kajian ini telah dijalankan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM) dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Kesihatan, dan beberapa kementerian serta agensi yang berkaitan bermula Mac 2019 sehingga Jun 2020.

“Hasil daripada kajian semula yang dijalankan, metodologi penetapan PGK telah ditambahbaik dalam tiga aspek,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Antara konsep tersebut ialah penetapan PGK makanan yang diperkemaskan daripada ‘minimum’ kepada ‘optimum minimum’.

"Ia mengambil kira peningkatan kualiti item bakul makanan berdasarkan Piramid Makanan 2020 dan kumpulan makanan Panduan Diet Malaysia (PDM) 2020 selaras dengan aktiviti fizikal harian dan kehidupan yang sihat.

"Sebagai contoh susu pekat manis yang dimasukkan dalam bakul makanan sebelum ini telah ditukarkan kepada susu tepung yang lebih sihat," katanya.

Selain itu, bagi PGK bukan makanan pula, Mustapa berkata keperluan kumpulan isi rumah berpendapatan 20 peratus terendah (B20) yang dikenal pasti telah bertambah dari 106 kepada 146 item.

“Ini bermakna, 40 item yang dahulunya tidak dianggap sebagai keperluan asas kepada kumpulan B20, kini telah dimasukkan ke dalam senarai terbabit.

“Selain itu, perubahan corak perbelanjaan isi rumah, harga barangan dan perkhidmatan semasa pada tahun 2019 berbanding tahun 2005 juga diambilkira,” tambah beliau lagi.

Mengikut Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas dan Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah 2019 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Jumaat, konsep kemiskinan dibahagikan kepada dua kategori:

*Kemiskinan mutlak: Keadaan di mana pendapatan isi rumah tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup asas, makanan, perlindungan dan pakaian.

*Kemiskinan relatif: Mengambl kira keadaan di mana pendapatan isi rumah berada beberapa peratusan di bawah pendapatan penengah isi rumah yang mempunyai pendapatan isi rumah dalam anggaran RM5,873.


Dalam laporan sama, nilai Pekali Gini mencatatkan peningkatan sebanyak 0.008 mata indeks daripada 0.399 pada tahun 2016 kepada 0.407 (2019) menunjukkan jurang pendapatan isi rumah semakin meningkat.

Pekali Gini adalah ukuran ketidakseimbangan daripada 0 kepada 1, dengan 0 mewakili persamaan mutlak dan 1 mewakili ketidakseimbangan mutlak.

Nota: Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas ini dijalankan dua kali dalam setiap lima tahun dan kali terakhir dilaksanakan pada 2016.