Harga siling petrol dan diesel akan diumum secara mingguan mulai 29 Mac dan pelaksanaannya berkuatkuasa pada 30 Mac.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, harga siling tersebut akan diumumkan pada setiap Rabu dan pelaksanaan dibuat pada Khamis.

Hamzah dalam satu temu bual bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang dipancarkan di saluran Astro AWANI (Saluran 501) berkata pengusaha stesen minyak boleh menawarkan harga diskaun dengan mendapat kelulusan KPDNKK.

Menurut Hamzah, mekanisme yang diguna pakai kerajaan sebelum ini adalah mengumumkan harga diesel dan petrol secara bulanan.

"Untuk menetapkan harga bulanan tersebut, kita mengambil pendekatan penetapan harga secara pengapungan terkawal.

"Proses ini dilakukan dengan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), yang telah ditetapkan semenjak 1983," katanya.

Formula APM, kata Hamzah, digunakan mengikut kadar harga pasaran minyak dunia.

kita juga memberikan angkubah perkiraan untuk syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak

Namun kerajaan memberikan perkiraan angkubah kepada syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak, dengan mengambil kira komponen seperti kos produk, kos operasi, marjin syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak.

Pengapungan terkawal secara bulanan, didapati membawa perubahan kadar turun naik harga yang begitu ketara sehingga menyebabkan kegelisahan kepada pengguna dan pengusaha stesen minyak.

Justeru satu mekanisme yang lebih baik dibentang ke jemaah Menteri, dan telah diluluskan 22 Februari lalu.

Menerusi mekanisme baharu ini, kadar tukaran asing dapat diterjemah dengan lebih tepat mengikut perkiraan pasaran global.

Pengusaha stesen minyak yang mahu membuat diskaun dan potongan harga perlu mendapatkan kebenaran KPDNKK terlebih dahulu.