Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata wang yang dikutip melalui pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan disalah guna.

Beliau menegaskan wang tersebut akan digunakan bagi membina jalan raya, masjid, surau, kuil, sekolah, pembangunan modal insan, pendidikan dan membaik pulih infrastruktur.

"Setelah 11 hari GST dilaksanakan, rakyat didapati dapat menerimanya tetapi dikelirukan oleh pihak tertentu terutama pembangkang semata-mata untuk meraih sokongan pengundi.

"Memang dasar pembangkang, apa yang kerajaan buat semuanya tak kena," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penerangan Isu Semasa dan Ramah Mesra Bersama Ahli Kelab Pengguna dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di sini, pada Sabtu.

SEGALA BERITA MENGENAI GST

Ditanya mengenai pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa GST tidak sesuai dilaksanakan pada masa ini, Hasan berkata ia adalah hak Dr Mahathir untuk memberikan pandangan tersebut.

"Tun Dr Mahathir mungkin arif hal-hal luar negara tetapi perlu diingat bahawa 170 negara telah melaksanakan GST," katanya, sambil mengingatkan peniaga agar tidak menipu rakyat untuk mendapat untung yang lebih melalui GST.

Hasan meminta pengguna yang ditipu oleh peniaga supaya membawa kes mereka kepada Tribunal Tuntutan Pengguna, selain membuat aduan kepada pihaknya untuk membuat siasatan.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perlis Datuk Sabry Ahmad.