Hutang industri penerbangan boleh meningkat kepada AS$550 bilion (AS$1 = RM4.36) menjelang akhir tahun, kenaikan 28 peratus atau AS$120 bilion lebih tinggi berbanding jumlah dicatatkan pada awal tahun, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Ia berkata secara keseluruhan, kerajaan telah memberikan komitmen kewangan sebanyak AS$123 bilion untuk membantu syarikat penerbangan bertahan akibat krisis penularan COVID-19.

"Daripada jumlah itu, AS$67 bilion perlu dibayar balik. Sebahagian besar baki itu terdiri daripada subsidi upah (AS$34.8 bilion), pembiayaan ekuiti (AS$11.5 bilion), dan pengecualian cukai atau subsidi (AS$9.7 bilion).

"Ini sangat penting bagi syarikat penerbangan yang dijangka akan menggunakan wang tunai kira-kira AS$60 bilion pada suku kedua 2020 sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA Alexandre de Juniac berkata bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan telah membantu memastikan industri ini tetap bertahan, tetapi lebih dari separuh bantuan yang diberikan kerajaan menghasilkan liabiliti baharu.

"Kurang daripada 10 peratus akan menambah ekuiti syarikat penerbangan. Ini mengubah landskap kewangan industri penerbangan sepenuhnya," katanya.

Menurut de Juniac, melunaskan hutang yang ditanggung oleh kerajaan dan pemberi pinjaman persendirian bererti krisis itu akan berlanjutan lebih lama daripada masa yang diperlukan untuk permintaan penumpang kembali pulih.

"Masa depan yang sukar berada di hadapan kita. Mencegah COVID-19 dan bertahan daripada kejutan kewangan hanyalah rintangan pertama. Langkah kawalan pasca wabak itu akan melibatkan kos operasi yang lebih tinggi.

"Dan pelaburan diperlukan untuk memenuhi sasaran persekitaran kita. Selain itu, syarikat penerbangan perlu membayar hutang yang besar akibat daripada bantuan kewangan. Setelah bertahan daripada krisis itu, pemulihan kewangan akan menjadi cabaran seterusnya bagi kebanyakan syarikat penerbangan," katanya.

Bagaimanapun, IATA berkata kebanyakan syarikat penerbangan masih memerlukan bantuan kewangan, bantuan kerajaan dapat mempengaruhi kepantasan dan kekukuhan pemulihan industri tersebut.

Sehubungan itu, ia meminta kerajaan yang masih mempertimbangkan untuk pemberian bantuan kewangan untuk menumpukan perhatian kepada langkah-langkah bagi membantu syarikat penerbangan meningkatkan pembiayaan ekuiti.

-- BERNAMA