Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menjangka 265 syarikat penerbangan anggotanya akan membawa kira-kira 3.8 bilion penumpang dan 50 juta tan kargo pada tahun ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA Alexandre de Juniac berkata pada tahun lepas, syarikat-syarikat penerbangan telah membawa 3.6 bilion penumpang dengan selamat.

Jumlah berkenaan bersamaan dengan 48 peratus daripada jumlah penduduk dunia dan mengangkut 52.2 juta tan kargo bernilai kira-kira US$6 trilion, katanya.

Beliau berkata industri penerbangan kini menyokong kira-kira 63 juta pekerjaan dan US$2.7 trilion dalam aktiviti ekonomi.

de Juniac berkata IATA juga menggesa pihak kerajaan yang telah menghadiri Perhimpunan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang ke-39 supaya bersetuju tentang pelaksanaan Skim Pengurangan dan Mengimbangi Karbon bagi Penerbangan Antarangsa (CORSIA) untuk membantu industri penerbangan mengendalikan jejak karbonnya.

"Ini akan menjadi perjanjian global yang pertama seumpamanya bagi sektor industri dan kami komited terhadap usaha pertumbuhan neutral karbon mulai 2020," kata de Juniac.

Beliau berkata CORSIA, bersama-sama dengan langkah-langkah untuk mempertingkat teknologi, operasi dan infrastruktur, akan memastikan penerbangan sebagai pihak yang penting dalam industri, bertanggungjawab mengurus kesan perubahan iklim mereka.

"Kira-kira 60 negara telah pun komited bagi tempoh secara sukarela dan jumlahnya semakin meningkat. Kami masih memerlukan lebih banyak negara mempamerkan kepimpinan dan komitmen mereka terhadap kelestarian dengan menyertai kami," kata beliau. - BERNAMA