iFashion Group, kumpulan fesyen dan gaya hidup dalam talian Asia Tenggara, mengambil alih NOSE Malaysia, menjadikannya satu langkah lebih dekat untuk menjadi peruncit fesyen dan gaya hidup dalam
talian terbesar di rantau ini.

NOSE, jenama fesyen Malaysia yang khusus dalam kasut dan beg tangan wanita, diambil alih dengan nilai S$5 juta (S$1=RM2.99) secara tunai dan saham.

Pengambilalihan NOSE, antara jenama terkenal di Malaysia dengan 10 rangkaian kedai di pusat beli-belah utama di seluruh negara, menandakan pengembangan awal iFashion dalam pasaran Malaysia.

"Penting bahawa pengambilalihan kami itu sejajar dengan matlamat perniagaan kami," kata Pengarah Urusan Kumpulan iFashion Jeneen Goh dalam kenyataan pada Rabu.

"Pengambilalihan NOSE tidak terkecuali, ia mengukuhkan sinergi antara jenama di bawah syarikat kami dan ia turut memastikan bahawa kami mampu melangkah ke hadapan sebagai satu pasukan yang berusaha menjadi kumpulan fesyen dan gaya hidup yang utama di Asia Tenggara," kata Goh.

NOSE telah berkembang ke Asia Barat pada 2008, dengan tujuh kedai francais di Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Qatar.

Pada peringkat e-dagang, NOSE telah meluaskan aktiviti peruncitan dalam taliannya baru-baru ini melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pasaran dalam talian utama di Asia Tenggara.

Dengan menyertai iFashion Group, NOSE akan bekerjasama dengan platform peruncitan Internet Kumpulan iFashion untuk meluaskan kehadiran langsungnya di Internet untuk meraih potensi pengedaran e-dagang global bagi produknya.

iFashion akan membantu NOSE memacu jualan dalam talian dan bersedia sebagai peserta e-dagang dalam talian global yang utama dalam kasut wanita.

Selain itu, NOSE juga akan mempunyai akses kepada akses pasaran yang lebih besar untuk berkembang ke negara Asia Tenggara yang lain seperti Singapura dan Indonesia.