Tutup

Berita  | Bisnes

Ikan tahai sumber laut terkenal di Lawas

Ikan tahai sumber laut terkenal di Lawas
Sehingga kini, ikan tahai dari Kampung Awat-Awat menerima permintaan yang tinggi dari Limbang juga Brunei Darussalam.
LAWAS: Sebut sahaja ikan tahai, pasti ramai dalam kalangan anda tidak pernah melihat mahupun menikmati keenakkan rasa ikan ini.

Ini kerana ikan tahai hanya boleh didapatkan di Lawas, Sarawak.

Untuk itu, sekiranya anda menjejakkan kaki ke Lawas suatu hari nanti, pastikan anda berkesempatan untuk merasai keunikan ikan tahai.

Bercerita mengenai ikan tahai, salah satu pusat pengumpulan dan pemprosesan hasil laut terkenal ini adalah Kampung Awat-Awat yang terletak kira-kira 22 kilometer dari pekan Lawas.

Wartawan dan jurukamera Astro AWANI berkesempatan melakukan kunjungan dan meninjau sendiri pusat pemprosesan yang dimiliki Norsalam Jamal, salah seorang pengusaha ikan tahai terkenal di Kampung Awat-Awat.

Di sana, Norsalam dan para pekerja yang terdiri daripada ahli keluarganya menunjukkan serta menceritakan setiap proses yang diperlukan sebelum ikan tahai sedia dibungkus dan dimakan.
“Mula-mula ikan ditangkap dari laut dan selepas itu kita proses, ikan dibasuh terlebih dahulu bagi mengasingkan setiap kekotoran dan kita susun sebelum disalai.

"Selepas kering, simpan dalam kotak dan akan dibungkus sebelum diedarkan,” kata Norsalam ketika ditemui.


Tambahnya proses mendapatkan ikan tahai bermula seawal jam 7.00 pagi dan ini juga bergantung kepada cuaca.

Sekiranya cuaca baik, maka hasil tangkapan akan lebih cepat dihantar untuk diproses.

Namun proses penyalaian memakan masa satu hingga dua hari kerana ia perlu melalui tiga peringkat bagi memastikan ikan tahai kering sepenuhnya sebelum sedia untuk dibungkus dan dijual.


Sehingga kini ikan tahai dari Kampung Awat-Awat menerima permintaan yang tinggi dari Limbang juga Brunei Darussalam.
Ujarnya lagi, dalam seminggu pihaknya akan menghantar sekurang-kurangnya 100 hingga 200 kilogram kepada pemborong dan adakalanya pernah mencecah 300 hingga 400 kilogram seminggu.

Ketika ini ikan tahai dijual pada harga RM15.00 untuk satu kilogram dan mampu mencecah RM25.00 di musim tengkujuh.

“Ikan tahai sedap dimakan begitu sahaja malah lebih sedap sekiranya dibuat sambal ikan tahai atau masak lemak,” tambahnya lagi.

Apabila ditanya mengenai kaedah penyalaian, Norsalam berkata adalah lebih mudah menggunakan kaedah tradisional dengan menggunakan kayu bakau.



Ini kerana rasanya tidak sama dengan ikan tahai yang dibakar menggunakan mesin pembakaran yang lebih canggih dan moden.

Selain itu, Norsalam juga berharap agar ikan tahai yang diusahakannya mampu untuk dikomersialkan sehingga ke Semenanjung Malaysia agar ia lebih dikenali.

“Saya kalau boleh nak hasil ikan tahai saya ke Semenanjung, pernah juga kita pergi ke Johor, Kuching juga di Kuala Lumpur dan sambutannya amat menggalakkan, jadi saya berharap akan mampu membawa ikan tahai Lawas ke sana suatu hari nanti,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Jadi, bagi anda yang berkesempatan ke Lawas di masa akan datang, jangan lupa untuk merasai sendiri kesedapan rasa ikan tahai ini.