Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Bisnes

Ikea akan dibuka di Batu Kawan

Ikea akan dibuka di Batu Kawan
Lim di sidang media pengumuman pembukaan Ikea di Batu Kawan - Foto Facebook
KUALA LUMPUR: Kedai perabot dan barangan rumah pilihan ramai, Ikea akan membuka cawangan yang keduanya selepas Damansara iaitu di Batu Kawan, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Projek ini adalah kerjasama di antara kerajaan negeri dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam satu sidang media mengalu-alukan projek di bawah Ikano Pte Ltd dan Aspen.

Lim turut berkata pembangunan yang seluas 245 ekar ini adalah termasuk 30 dan 45 ekar pembinaan pusat beli-belah serta 170 ekar lagi untuk pembangunan campuran.
“Pembinaan ini menelan belanja lebih dari RM480 juta dan target siap pada masa 10 tahun dari tarikh perjanjian” katanya.

Tempoh masa pembinaan menyasarkan dalam masa 5 tahun atau lebih, bergantung kepada pelbagai faktor seperti persekitaran, ekonomi dan permintaan.
"Bayaran perlu dibuat dalam tempoh 60 bulan dari tarikh perjanjian dan deposit yang tidak boleh dipulangkan bernilai RM5 juta telah dibayar kepada PDC" terang Lim lagi.

Aspen dan Ikano dijangka mengemukakan rancangan pembangunan mereka kepada Pihak Berkuasa Tempatan pada tahun ini dan akan memulakan aktiviti pembangunan pada akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Selaras dengan visi dan strategi Aspen itu, sebahagian besar daripada komponen kediaman akan memenuhi pasaran dan rumah mesra alam dengan harga berpatutan.

Menurut Lim juga, pembukaan Ikea nanti dijangka akan dapat memenangi keyakinan penduduk Pulau Pinang selain menjadikan Seberang Perai sebagai destinasi pelancongan.

Turut hadir di sidang media tersebut adalah Pengurus Besar PDC Dato’ Rosli Jaafar, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Aspen Dato’ M Murly, Pengerusi Kumpulan Syarikat Aspen,  Dato’ Seri Nazir Ariff, Pengarah Eksekutif Dr. Lim Su Kiat dan Mr Lee Peng Cheong serta Pengurus Besar Ir Woo Kok Weng.