Ikea Malaysia terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburannya dengan membuka cawangan kedua di Cheras, Kuala Lumpur yang dijangka beroperasi pada hujung November ini.

Cawangan kedua itu menambah jumlah cawangannya di Asia Tenggara yang kini mencatatkan dua cawangan di Singapura, satu di Thailand dan dua di Malaysia.

Pengarah Peruncitan Ikea Malaysia, Singapura dan Thailand, Mike King berkata gedung berkenaan mempunyai ruang membeli-belah seluas 42,000 meter persegi iaitu 20 peratus lebih besar daripada cawangannya di Damansara.

“Ia (Malaysia) pasaran baik untuk Ikea. Pada tahun 1995 kami buka cawangan di One Utama, dan kami buka gedung besar pada 2003. Jualan terus tumbuh saban tahun. Kami jadikan tawaran lebih relevan dan mampu milik.

“Kami jadikan set ruang pameran lebih kelihatan seperti rumah Malaysia. Kami jalankan kajian mendalam bagaimana rakyat rumah orang Malaysia. 30 juta penduduk Malaysia adalah pasaran besar.

“Kami lihat Pulau Pinang dan Johor Bahru, kami melihat kesemua kawasan berpotensi untuk pengembangan,"katanya kepada pemberita pada majlis prapelancaran IKEA Cheras, di sini, hari ini.


IKEA Cheras dibuka akhir November ini

Beliau berkata, Ikea di Cheras juga terletak lebih kurang lima minit dari pusat bandaraya yang mampu menarik kehadiran pengunjung.

Pasukan kerja di Ikea Cheras kini rancak menyiapkan reka bentuk dalaman, persediaan operasi dan latihan untuk semua pekerja.

Aktiviti merekrut pekerja di seluruh negara juga giat dijalankan bagi membantu operasi gedung baru berkenaan.

Mike berkata perancangan syarikat kini adalah membuka cawangan di Johor Bahru dan Pulau Pinang namun syarikat masih belum menetapkan tarikh pelaksanaan pengembangan itu.

Ujar Mike, Ikea Damansara merekodkan 6 juta pelanggan setahun dan yakin sambutan di cawangan Cheras akan turut memberangsangkan.

Ikea Cheras bakal menawarkan sejumlah 8,500 produk dengan 54 set contoh bilik.