INDIA dijangka menjadi ekonomi kelima terbesar dunia 'dalam tempoh terdekat' berbanding tempat ketujuh, kata Menteri Kewangannya Arun Jaitley.

Ketika membentangkan belanjawan negara bagi kewangan 2018-2019 pada Khamis, beliau mengumumkan saiz ekonomi India sebanyak US$ 2.5 trilion.

India dijangka tumbuh tujuh hingga 7.5 peratus pada tahun fiskal April-Mac, berdasarkan unjuran rasmi.

Jaitley berkata pada separuh kedua tahun kewangan semasa 2017-2018, kadar pertumbuhan dijangka antara 7.2 peratus dan 7.5 peratus.

"India mencapai pertumbuhan purata sebanyak 7.5 peratus dalam tiga tahun pertama kerajaan sedia ada, ekonomi India kini bernilai 2.5 trilion dolar - ketujuh terbesar di dunia. India dijangka menjadi ekonomi kelima terbesar tidak lama lagi," katanya.

Kerajaan mengkaji semula defisit fiskal bagi tahun kewangan 2017-2018 kepada 5.95 trilion rupee (kira-kira US$93.4 bilion) pada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Defisit fiskal untuk 2018-2019 diunjur 3.3 peratus daripada KDNK.

Kerajaan yang diketuai Parti Bharatiya Janata (BJP) mengumumkan beberapa cadangan untuk pertumbuhan infrastruktur selain bagi menarik pengundi luar bandar, sebelum pilihan raya umum tahun depan.

Antara cadangan utama ialah menyediakan insurans kesihatan kepada 100 juta keluarga miskin dengan menampung perbelanjaan perubatan sehingga 500,000 rupee setiap isi rumah bagi rawatan.

Bagaimanapun, bajet itu dikritik golongan kelas menengah India yang mengharapkan pelepasan cukai pendapatan.

"Kerajaan telah membuat banyak perubahan positif dalam kadar cukai pendapatan peribadi untuk individu sejak tiga tahun lepas. Oleh itu saya tidak mencadangkan sebarang perubahan dalam struktur kadar cukai pendapatan individu," kata Jaitley.

Perbelanjaan untuk infrastruktur bagi 2018-2019 meningkat kepada 5.97 trilion rupee berbanding anggaran perbelanjaan 4.94 trilion rupee pada 2017-2018.

Beliau berkata keperluan pelaburan infrastruktur India melibatkat kira-kira US$785 bilion bagi meningkatkan pertumbuhan KDNK, menyambung dan mengintegrasikan negara dengan rangkaian jalan, lapangan terbang, kereta api, pelabuhan dan saluran air pedalaman dan menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat.

-- BERNAMA