India menyamakan mata wang maya, termasuk Bitcoin dengan skim Ponzi dan mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dengannya.

Kementerian Kewangan berkata, terdapat peningkatan mendadak baru-baru ini dalam harga mata wang maya di India dan di peringkat global, tetapi ia tidak ada nilai intrinsik dan tidak disokong oleh sebarang bentuk aset.

"Terdapat risiko sebenar dan tinggi dalam gelembung pelaburan sama seperti yang dilihat dalam skim Ponzi yang boleh menyebabkan kejatuhan mendadak dan berpanjangan yang membuatkapn pelabur, terutama pengguna runcit kehilangan wang mereka.

"Pengguna perlu berhati-hati bagi mengelak daripada terperangkap dalam skim Ponzi seperti itu," kata kementerian tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Mata wang kripto telah menarik perhatian ramai di seluruh dunia selepas harga Bitcoin, token digital yang paling terkenal, mencatat kenaikan mendadak baru-baru ini.

Nilai mereka telah meningkat amat tinggi dan kenyataan Kementerian Kewangan India mengingatkan orang ramai yang harga mata wang kripto hanya berasaskan spekulasi.

Kerajaan India berkata, mereka yang terlibat dalam perdagangan itu boleh menjadi mangsa jenayah siber kerana unit wang digital itu disimpan dalam format elektronik, menjadikan mereka mudah digodam, kehilangan kata laluan dan serangan virus.

Kebimbangan telah didimbulkan di peringkat global mengenai penggunaan mata wang maya untuk jenayah serius. -- Bernama