Berita  | Bisnes

Inovasi terkini bioteknologi pacu industri minyak kelapa sawit - MPOB

Inovasi terkini bioteknologi pacu industri minyak kelapa sawit - MPOB
Melalui teknologi terkini, penghasilan minyak kelapa sawit dapat ditingkatkan, sekali gus mengurangkan kemusnahan hutan bagi penanaman kelapa sawit. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Inovasi terkini bioteknologi dapat memberi kesan positif kepada pengguna, penghasil dan pedagang minyak kelapa sawit negara.

Timbalan Ketua Pengarah di Malaysian Palm Oil Board (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata melalui teknologi terkini, penghasilan minyak kelapa sawit dapat ditingkatkan, sekali gus mengurangkan kemusnahan hutan bagi penanaman kelapa sawit.

“Melalui teknologi seperti kultur tisu, jujukan genom dan kejuruteraan genetik, penghasilan minyak kelapa sawit dapat digandakan untuk mencapai hampir kepada potensi teorinya iaitu 18 tan/hektar/tahun, sekali gus menghasilkan 8 hingga 10 tan per hektar setiap tahun,” kata Ahmad Parveez ketika dihubungi Astro AWANI.

Menurutnya, melalui teknologi genome seperti alat pengimbas DNA, produksi minyak kelapa sawit dapat dipertingkat dengan menyisihkan biji-biji buruk di peringkat awal penanaman.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Parveez berkata keputusan European Union (EU) untuk menghentikan secara berperingkat dan melarang penggunaan sawit dalam biodiesel menerusi Akta Perwakilan (Delegated Act) adalah kerana impak negatif terhadap alam sekitar.

Namun, hakikatnya, hanya sejumlah lima peratus tanah digunakan untuk industri pertanian kelapa sawit di seluruh dunia, menurut Ahmad Parveez.

“Jejak karbon akibat perindustrian minyak kelapa sawit adalah rendah dibandingkan dengan perindustrian minyak sayur-sayuran,” tambah beliau.

Ahmad Parveez berpendapat sekatan ini jelas dibuat atas sebab diskriminasi membabitkan perniagaan minyak bunga matahari serta minyak sesawi di Eropah.

"Minyak sawit menyumbang kepada 32 peratus jumlah penghasilan minyak dunia dan 57 peratus jumlah eksport dunia.

“Sekatan ini menjadi cabaran kepada kumpulan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi membuktikan kepada EU bahawa industri minyak sawit tidak memberi impak negatif,” tambahnya lagi.




Tag: Astro Awani, European Union, EU, Malaysia, Minyak Kelapa Sawit, Kelapa Sawit, Bioteknologi, Teknologi, MPOB


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.