Berita  |  Bisnes

Isa Samad letak jawatan Pengerusi FGV

Isa Samad letak jawatan Pengerusi FGV
Isa dilantik sebagai Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Felda Global Ventures (FGV) yang dilanda krisis hari ini mengumumkan pengunduran Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai pengerusi syarikat itu berkuat kuasa serta merta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, FGV menyatakan bahawa Mohd Isa mengundurkan diri bagi memenuhi lantikan baru di sebuah agensi kerajaan dan untuk memberi tumpuan kepada hal-hal peribadi.

Beliau dilantik sebagai Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas FGV pada 1 Jan, 2011.
Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Mohd Isa dilantik sebagai Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

FGV dan kenyataan media Pejabat PM turut memaklumkan pelantikan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai Pemangku Pengerusi FGV.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Lembaga Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) mengesahkan peletakan jawatan Mohd Isa dari jawatan Pengerusi FGVH, dalam anak syarikat, syarikat bersekutu dan syarikat usaha sama.

Berikutan itu, Lembaga juga mengumumkan pelantikan Sulaiman sebagai Pemangku Pengerusi FGVH berkuatkuasa hari ini.

"Kumpulan FGVH mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohd Isa di atas sumbangan beliau kepada Kumpulan sepanjang berkhidmat sebagai Pengerusi.

"Kumpulan juga mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau untuk masa hadapan," kata Lembaga FGVH.

Menuju ke hadapan, tambahnya, Lembaga FGVH dan pengurusan akan fokus kepada usaha menambahbaik tadbir urus korporat yang baik dan mengukuhkan prestasi kewangan Kumpulan FGVH.