Malaysia Airlines Berhad (MAB) hari ini mengumumkan Ketua Pegawai Operasi Kumpulannya Kapten Izham Ismail sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Baharu MAB berkuat serta merta.

MAB dalam satu kenyataan berkata Izham yang turut dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan akan memulakan tugasnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Baharu MAB pada 1 Disember 2017.

Izham juga turut dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan.

Tambah kenyataan itu lagi, satu Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan untuk tempoh enam bulan bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar.

Katanya pelantikan Izham sejajar dengan pelan penggantian yang telah digariskan MAB sebagai sebahagian daripada Pelan Pemulihan 12 Perkara MAS (MRP), yang disediakan bagi pembangunan dan penggantian bakat kepimpinan Malaysia.

"Bagi memastikan peralihan yang lancar, sebuah Jawatankuasa Eksekutif Lembaga akan ditubuhkan untuk tempoh enam bulan.

Ia akan diketuai oleh Pengerusi Tan Sri Md Nor Yusof dan akan termasuk ahli lembaga pengarah Tan Sri Krishnan Tan Boon Seng, Tan Sri Zamzamzairani Isa dan Sheranjiv Sammanthan," menurut MAB.

Katanya Izham telah memainkan peranan yang penting kepada usaha pemulihan berterusan syarikat penerbangan itu.

Sebagai COO, beliau bertanggungjawab bagi bahagian operasi, yang termasuk operasi penerbangan dan lapangan terbang serta kejuruteraan, katanya.

"Beliau mengetuai penyusunan semula bahagian kejuruteraan bagi operasi yang lebih cekap dan lancar, serta bertanggungjawab bagi inisiatif penjimatan bahan api syarikat penerbangan itu," menurut MAB lagi.

Izham mempunyai pengalaman selama 38 tahun dalam industri penerbangan, memulakan kerjaya dengan Malaysia Airlines sebagai juruterbang pada 1979 dan telah memecahkan rekod penerbangan dunia apabila beliau menerbangkan pesawat B777-200 pertama Malaysia Airlines pergi dan balik dari Seattle ke Kuala Lumpur.

Sebelum dilantik sebagai COO pada 2016, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MASwings, syarikat sekutu Malaysia Airlines di Sabah dan Sarawak.

Mengalu-alukan Izham kepada jawatan baharunya, Pengerusi MAB Tan Sri Md Nor Yusof berkata Izham merupakan ahli penting dalam keluarga MH dan mempunyai pemahaman yang luas mengenai operasi syarikat penerbangan dan pengurusan perniagaan.

Sementara itu Peter Bellew yang akan berpindah ke Ryanair diletakkan di bawah cuti pentadbiran.