Jajaran semula dasar-dasar PKS

Jajaran semula dasar-dasar PKS
Timbalan Menteri, Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Ramli menggesa usahawan memanfaatkan Jadual Input-Output PKS untuk merancang pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). - Gambar fail/BERNAMA
“MANFAATKAN Jadual Input-Output PKS untuk merancang pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)”. Itu adalah mesej utama yang disampaikan oleh Timbalan Menteri, Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Ramli ketika melancarkan Jadual Input-Output PKS di Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia pada 29 Januari yang lalu.

Pembangunan Jadual Input-Output PKS yang menunjukkan aliran urusniaga di antara PKS dan firma besar ini dilihat tepat pada masanya ketika kerajaan mensasarkan untuk meningkatkan kadar sumbangan PKS terhadap KDNK negara.

Sasaran semasa sumbangan PKS kepada KDNK adalah 41 peratus menjelang tahun 2020. Dengan mengambil kira situasi semasa dan business as usual (BAU), sasaran ini tidak akan mampu untuk dicapai pada 2020.
Jajaran semula dasar-dasar PKS perlu dilakukan. Jadual Input-Output PKS boleh membantu di dalam membuat dan menilai dasar semasa PKS.

Pertama, Jadual Input-Output PKS memberi maklumat berkaitan struktur rantaian nilai di antara PKS dan firma besar. Jadi penggubal dasar dapat menganalisis secara terperinci struktur rantaian nilai bagi setiap sektor PKS dan dapat mengenalpasti kelemahan dan peluang pada setiap rantaian nilai. 

Kedua, Jadual Input-Output PKS juga berupaya untuk dijadikan sebagai satu alat pemantauan dasar yang berkesan. Saban tahun, kerajaan memperuntukkan sejumlah besar dana pembangunan kepada PKS, namun keberkesanan dana tersebut tidak dapat dinilai dengan sempurna kerana ketiadaan alat pemantauan dasar.

Umum mengetahui kerajaan telah menganugerahkan pelbagai projek pembangunan kepada firma asing yang mempunyai teknologi dan kepakaran khusus melalui Industrial Collaboration Programme (ICP). Sebagai timbal balik, firma tersebut perlu menyalurkan teknologi dan kepakaran kepada firma di Malaysia. Jadual Input-Output PKS boleh digunakan untuk menilai sejauh mana ICP memberi impak kepada PKS.

Bagi negara di Kesatuan Eropah dan Australia, kewujudan program ini telah digunakan sebaik mungkin untuk membangunkan PKS dengan menetapkan keperluan kandungan tempatan.


*  Chakrin Utit merupakan pemegang ijazah Sarjana Universiti Putra Malaysia dan penuntut PhD skim Tenaga Akademik Muda, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Tag: KDNK, usahawan, menteri, Kesatuan Eropah, Malaysia, Chakrin Utit, SME, PKS


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.