Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad dan Ketua Pegawai Kewangan FGV Ahmad Tifli Mohd Talha telah diarah bercuti serta merta bermula 6 Jun.

Menurut satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, FGV berkata cuti ini adalah untuk memberi laluan kepada siasatan berhubung tunggakan bayaran daripada syarikat Safitex bagi produk Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.

FGV berkata ia akan menjalankan urus niaga seperti biasa.

“Buat sementara, satu Jawatankuasa Eksekutif Lembaga Pengarah yang terdiri daripada dua pengarah FGV, Datuk Dr Omar Salim dan Datuk Mohd Zafer Mohd Hashim, bersama-sama dengan ketua kelompok logistik, Azman Ahmad, akan mengambil alih tanggungjawab untuk melaksanakan fungsi Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif.

“Lembaga melantik pengawal kewangan kumpulan sektor perladangan, Aznur Kama Azmir, sebagai CFO interim kumpulan.

"Pengumuman lanjut akan dibuat sekiranya berlaku perkembangan dalm kes ini," katanya dalam satu kenyataan.

Harga saham FGV di Bursa Malaysia susut 3.5 peratus susulan konflik pengurusan tertinggi syarikat itu pagi tadi.

Sebelum ini, ia dilaporkan bahawa Zakaria telah menerima surat dari Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad yang mengatakan beliau telah dilepaskan daripada semua tugas dalam FGV dan anak-anak syarikat itu.