Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) diharap dapat mengemukakan langkah khusus bagi membantu usahawan Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam menghadapi cabaran ekonomi seperti penurunan nilai ringgit.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata setakat ini usahawan PKS masih mampu bertahan walaupun penurunan nilai ringgit memberi sedikit tekanan kepada operasi mereka.

"Kita tahu ada isu-isu seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ada sedikit penurunan dalam nilai jualan mereka (usahawan PKS), dan penurunan nilai ringgit juga ada sedikit terjejas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Merdeka Trade Expo anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kompleks Perniagaan Saidina Ali, Kok Lanas di sini, hari ini.

Mustapa berkata jawatankuasa itu yang dibentuk kerajaan dianggotai tokoh-tokoh ekonomi yang diyakini mampu memastikan pertumbuhan berterusan ekonomi negara.

"PKS adalah tulang belakang kepada ekonomi negara dan kebanyakan industri dan syarikat adalah PKS dan kerajaan cukup sedar kita perlu ada agenda yang cukup mantap untuk memperjuangkan PKS," katanya.

Beliau berkata kerajaan melalui agensinya seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tabung Ekonomi Usaha Niaga (Tekun Nasional), akan terus membantu usahawan PKS dalam menghadapi cabaran semasa tersebut.

Terdahulu semasa berucap pada majlis berkenaan, Mustapa yang juga menteri mentor UMK, menggalakkan graduan universiti itu menceburi bidang keusahawanan yang mempunyai potensi besar pada masa depan.

Beliau juga mahukan pensyarah dan pelajar universiti itu kerap turun padang menganjurkan program bagi memajukan masyarakat di negeri ini.