Jumlah perdagangan Malaysia pada Oktober 2017 melonjak 19.8 peratus kepada RM154.26 bilion berbanding bulan yang sama tahun lepas, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan hari ini.

Perdagangan dengan ASEAN, China, Amerika Syarikat, Hong Kong, Jepun, Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan berkenaan, katanya.

"Eksport pada Oktober 2017 tumbuh 18.9 peratus kepada RM82.41 bilion, melebihi RM80 bilion buat kali ketiga pada 2017, manakala import naik 20.9 peratus kepada RM71.85 bilion.

"Lebihan dagangan meningkat kepada RM10.56 bilion, nilai tertinggi dicatatkan sejak April 2016, merupakan yang ke-240 bulan berturut-turut sejak November 1997," katanya.

Sementara itu, berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport dan import, masing-masing berkembang 4.3 peratus, 5.3 peratus dan 3.2 peratus, katanya.

Menurut MITI, jumlah perdagangan pada sepuluh bulan pertama 2017 berjumlah RM1.46 trillion, berkembang 21.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2016, dengan eksport berjumlah RM772.66 bilion, naik 21.1 peratus manakala import pada RM692.51 bilion, meningkat 21.9 peratus.

Lebihan dagangan bernilai RM80.15 bilion, naik 14.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Eksport barangan perkilangan pada Oktober 2017, kata MITI, meningkat 19.5 peratus atau RM11.11 bilion kepada RM68.07 bilion, menyumbang 82.6 peratus jumlah eksport Malaysia.

Peningkatan berkenaan disokong terutamanya oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik (E

MITI berkata eksport hasil galian tumbuh 27.3 peratus kepada RM6.7 bilion, menyumbang 8.1 peratus kepada jumlah eksport Malaysia. Pertumbuhan ini dipacu oleh kenaikan eksport petroleum mentah berikutan pertambahan nilai unit purata dan kuantiti.

Eksport keluaran pertanian pula naik 6.3 peratus berbanding Oktober 2016 kepada RM6.98 bilion, menyumbang 8.5 peratus daripada jumlah eksport.

Eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit yang meningkat 7.9 peratus kepada RM4.98 bilion merupakan penyumbang utama kepada kenaikan ini.

Sementara itu, MITI berkata perdagangan dengan ASEAN meningkat 22.4 peratus berbanding tahun ke tahun kepada RM43.28 bilion pada Oktober 2017, menyumbang 28.1 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Eksport merekodkan pertumbuhan dua digit 19.5 peratus kepada RM23.9 bilion, disumbangkan terutamanya oleh prestasi kukuh eksport barangan E

Imports dari ASEAN berkembang 26.1 peratus kepada RM19.38 bilion.

MITI berkata perdagangan dengan rakan perjanjian perdagangan bebas pada Oktober 2017 bertambah 19.1 peratus berbanding tahun ke tahun kepada RM97.6 bilion dan menyumbang kepada 63.3 peratus jumlah dagangan Malaysia dengan eksport sebanyak RM51.17 bilion, naik 18.4 peratus, manakala import meningkat 20 peratus kepada RM46.43 bilion. -- Bernama