Berita  | Bisnes

Jurang pendapatan makin meluas, golongan B40 paling terkesan - KRI

Jurang pendapatan makin meluas, golongan B40 paling terkesan - KRI
Jurang pendapatan purata hakiki antara 20 peratus golongan kaya dan 80 peratus rakyat Malaysia terus meluas. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Isi rumah dengan pendapatan di bawah RM2,000 sebulan secara purata membelanjakan 95 peratus pendapatan mereka untuk keperluan asas harian.

Ia menjadikan mereka tidak mempunyai simpanan untuk menampan kesan kejutan ekonomi dan kecemasan, menurut kajian Kedudukan Isirumah 2018 oleh Khazanah Research Institute (KRI).

Kajian turut mendapati ketidaksamaan pendapatan di Malaysia secara amnya bertambah baik seperti dibuktikan oleh ukuran Gini coefficient yang menurun kepada 0.399 pada 2016.

Bagaimanapun, jurang pendapatan purata hakiki antara 20 peratus golongan kaya dan 80 peratus rakyat Malaysia terus meluas.
“Jika individu A mempunyai pendapatan RM100, individu B mempunyai pendapatan RM1,000, ia jauh berbeza. Tahun hadapan, Individu B mempunyai peningkatan pendapatan RM5,000, individu A pula RM1,000.

“Individu A mempunyai peningkatan pendapatan 10 kali ganda berbanding individu B yang hanya mempunyai peningkatan pendapatan 5 kali ganda. Ini yang menjadikan ketidaksamaan bertambah baik dari segi pertambahan pendapatan.

“Namun jurang pendapatan semakin meluas. Dari beza RM1,000 kepada RM100, kini bezanya RM1,000 dan RM5,000,” kata penulis utama Kajian Kedudukan Isirumah 2018, Allen Ng.

Kajian yang menggunakan data setakat 2016 itu turut mendapati isi rumah dengan pendapatan di bawah RM5,000 mengecilkan perbelanjaan mereka dalam aspek penggunaan.

Manakala golongan berpendapatan RM5,000 dan ke atas membelanjakan untuk aktiviti  bukan asas seperti rekreasi, makan di luar dan perkhidmatan budaya.

Berdasarkan data pengagihan pendapatan isi rumah 2016, M40 diukur berdasarkan pendapatan antara RM4,360 dan RM9,619.

Namun angka itu berbeza jika dibandingkan mengikut negeri kerana beberapa negeri seperti Kelantan, Perlis atau Pahang mempunyai pendapatan T20 yang bersamaan dengan B40 di Kuala Lumpur.

Menurut Pengerusi Eksekutif Jawatankuasa KRI, Datuk Hisham Hamdan, jumlah pendapatan RM20,000 di Kuala Lumpur adalah masih tergolong dalam M40, namun RM6,000 di Kelantan adalah T20.

Pendapatan median isi rumah pada 2016 berada pada RM5,228 sebulan, manakala pendapatan purata pula pada RM6,958 sebulan.


Tag: Khazanah, Pahang, Perlis, rakyat Malaysia, Pendapatan Purata, B40, M40, T20, Ekonomi Malaysia, pendapatan isirumah, Khazanah Research Institute, KRI


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.