Malaysia Airlines Berhad (MAB) yakin Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan memperkenalkan kadar caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang adil kepada semua syarikat penerbangan yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menyamai kadar caj yang dinikmati penumpang di klia2.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Peter Bellew, beliau optimistik pengenalan caj yang lebih sama rata akan mewujudkan persaingan sihat antara semua syarikat penerbangan yang beroperasi di kedua-dua terminal.

“Saya rasa mereka (MAVCOM) masih dalam proses memberikan kata putus berkenaan caj perkhidmatan penumpang. Kemungkinan kita akan mendapat caj perkhidmatan penumpang yang seimbang antara KLIA dan klia2.

“Saya optimistik kami akan mendapat keputusan yang adil dan berpatutan yang sesuai untuk 51 syarikat penerbangan yang beroperasi di KLIA dan juga untuk Malaysia Airlines,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman kerjasama Malaysia Airlines dan Liverpool FC.

Jelas Bellew, jika kadar PSC diseragamkan di kedua-dua terminal, tidak ada keperluan untuk Malaysia Airlines memindahkan sebahagian operasinya di klia2.

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dijangka mengumumkan kadar PSC baharu menjelang hujung tahun ini selepas mendapat kelulusan Kabinet.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada September lalu memaklumkan pihaknya akan melaksanakan kadar baharu PSC di semua lapangan terbang berkuatkuasa 1 Januari tahun depan.

Bellew ditemui selepas majlis pengumuman kerjasama di antara Malaysia Airlines dan kelab gergasi bola sepak Inggeris Liverpool FC.

Melalui kerjasama tersebut, Malaysia Airlines akan dikenali sebagai rakan penerbangan global rasmi Liverpool FC selama tiga tahun.