Kadar pulangan yang disumbangkan oleh penumpang global meningkat sedikit pada Ogos, didorong oleh mereka yang menggunakan perkhidmatan kelas ekonomi dan premium, demikian menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Bagaimanapun, menerusi laporan Pemantauan Kewangan Penerbangan Ogos-September 2019 yang dikeluarkan hari ini, IATA berkata pulangan global berkenaan masih susut sebanyak 2.7 peratus berbanding yang dicatatkan pada setahun lepas.

"Susulan impak perkembangan perdagangan dan ekonomi, hasil pulangan kabin premium telah mencatat aliran penurunan pada empat bulan lepas, namun prestasi itu sebaliknya pada Ogos (0.2 peratus).

"Bagaimanapun, tidak mustahil untuk dikatakan bahawa ini merupakan perubahan aliran memandangkan ekonomi global yang perlahan dan pertikaian perdagangan yang masih belum selesai. Hasil bagi tempat duduk kelas ekonomi meningkat pada Ogos (sebanyak 0.4 peratus) iaitu meneruskan aliran sejak beberapa bulan lepas," kata persatuan itu.

Tempat duduk kelas premium menyumbang 5.1 peratus daripada jumlah aliran penumpang antarabangsa daripada destinasi asal bagi tujuh bulan pertama 2019 yang rendah (0.2 mata peratusan) berbanding jumlah dalam tempoh sama, setahun lepas.

Dari segi perolehan, penumpang kelas premium menyumbang 30.8 peratus daripada jumlah perolehan penumpang yang lebih tinggi (0.5 mata peratus) berbanding setahun lepas.

Pertumbuhan aliran penumpang premium menjejaskan sumbangan ekonomi di kebanyakan laluan antarabangsa kecuali bagi rantau Pasifik Utara Pertengahan dan Asia Pasifik Barat Daya. Kelembapan kadar pertumbuhan ekonomi di pasaran utama di Eropah beserta ketegangan perdagangan telah menjejaskan aliran penumpang premium di semua laluan antarabangsa membabitkan Eropah.

Selain itu, pertumbuhan harga premium juga mengatasi ekonomi di kebanyakan laluan selain dari Eropah-bahagian selatan Afrika dan Atlantik Utara.

Sementara itu, dari segi pelarasan musim (SA), pendapatan penumpang bagi setiap kilometer (RPK) terus mencatat aliran peningkatan pada Ogos manakala SA tan kargo setiap kilometer (FTK) berkurangan selepas meningkat pada Julai.

"Sejak setahun lepas, kelembapan aktiviti ekonomi global menyaksikan pertumbuhan RPK yang sederhana. SA RPK meningkat sebanyak 3.9 peratus tahun ke tahun namun kadar itu kekal rendah berbanding purata jangka panjang sekitar 5.5 peratus. Dari segi kargo, industri itu terus dijejaskan oleh dagangan global dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.

"Pada Ogos, SA FTK susut sebanyak 4.4 peratus bagi tahun ke tahun pada Ogos.

"Mengambil kira prospek ekonomi dan risiko berkaitan pertikaian perdagangan, unjuran kami terhadap kargo kekal rendah," katanya.

Selain itu, pelarasan musim tempat duduk tersedia setiap kilometer (ASK) industri itu meneruskan aliran kenaikan untuk tiga bulan berturut-turut pada Ogos. Bagaimanapun, aliran pertumbuhan tahun ke tahun bagi SA ASK itu masih perlahan berbanding setahun lepas (3.7 peratus berbanding 6.7 peratus pada Ogos 2018) serta memberi kesan kepada aliran pertumbuhan dalam RPK.

"Kargo tersedia setiap satu tan bagi setiap kilometer (AFTK) dalam SA susut pada Ogos selepas mengalami kenaikan pada dua bulan sebelumnya. Kadar pertumbuhan kapasiti muatan tahunan SA yang menghampiri 5.0 peratus setahun lepas, berkurangan kepada 1.9 peratus," katanya.

IATA mengunjurkan syarikat-syarikat penerbangan akan terus berhati-hati mengenai keperluan menambah kapasiti baharu dari segi penumpang dan kargo akibat kelemahan ekonomi global dan pertikaian perdagangan yang terus meruncing.

Dari segi kos bahan api, IATA berkata harga minyak mentah Brent dan bahan api jet meningkat mendadak pada September susulan serangan ke atas kemudahan minyak Arab Saudi.

Bagaimanapun, tekanan harga itu dapat ditampung, didorong oleh pemulihan pengeluaran yang lebih pantas daripada jangkaan awal.

Harga minyak dan bahan api jet juga telah kembali ke paras pra-serangan tersebut walaupun pengeluaran masih belum pulih sepenuhnya.

Menurutnya, kebimbangan mengenai unjuran ekonomi global telah mengambil kira harga minyak dan lebih kepada mengimbangi potensi risiko geopolitik.

Harga saham syarikat penerbangan global pada September meningkat walaupun wujudnya cabaran dari segi syarikat penerbangan yang terpaksa ditutup, mogok dan perkembangan geopolitik, kata IATA.

Indeks penerbangan Eropah mencatat prestasi terbaik apabila mencecah pulangan bulanan tertinggi sejak dua tahun lepas walaupun dalam persekitaran peningkatan haraga minyak manakala sebuah syarikat penerbangan mengalami kerugian besar.

"Unjuran ekonomi yang lemah beserta ketidaktentuan Brexit, hanya menjadikan usaha mengekalkan prestasi itu sebagai mencabar," kata IATA.

-- BERNAMA