Syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi digesa memberi penerangan berterusan kepada pengguna supaya kaedah rebat Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi kad prabayar dapat difahami sepenuhnya.

Gesaan itu dibuat Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi memastikan pelaksanaan kaedah rebat GST bagi kad prabayar yang dilaksanakan 1 Jan lepas difahami sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga minggu pelaksanaannya.

Timbalan Menterinya Datuk Jailani Johari berkata kementerian meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk dikongsi bersama pembekal perkhidmatan telekomunikasi, penjual kad prabayar dan pengguna.

"Masih ada yang tidak pasti mengenai kaedah rebat ini kerana baharu dilaksanakan dan saya percaya setelah berlangsung selama dua hingga tiga minggu, masyarakat akan jelas mengenai perkara ini, namun penerangan secara berterusan perlu dilakukan" katanya.

Jailani berkata demikian pada majlis sambutan ulang tahun keempat stesen radio NasionalFM di Wisma Radio Angkasapuri, di sini hari ini.

Mulai 1 Jan hingga 31 Dis tahun ini pelanggan prabayar di negara ini menerima rebat bersamaan dengan jumlah GST yang akan dikredit secara terus ke akaun prabayar mereka.

Mengulas mengenai kelemahan Sistem Panggilan Malaysian Emergency Response System (MERS 999) yang diketengahkan media tempatan bulan lepas, Jailani mahu kesemua pihak menyelesaikan masalah itu bagi memastikan ia boleh beroperasi bagi memberikan perkhidmatan kecemasan.

Laporan akhbar sebelum ini mendedahkan bahawa kelemahan MERS 999 menyebabkan penyedia perkhidmatan ambulans menghadapi masalah mencari lokasi yang dinyatakan pesakit.

Ia melaporkan bahawa kelemahan data sistem Pengesan Lokasi Automatik (ALI) yang menunjukkan maklumat tidak tepat dari pemanggil disebabkan kegagalan operator MERS 999 atau maklumat tidak tepat disampaikan pangkalan stesen penerima syarikat telekomunikasi.

MERS 999 merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia bersama TM Berhad sebagai platform bagi kesemua perkhidmatan kecemasan menggunakan panggilan 999.