Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasarkan kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM42 bilion untuk tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Perkastaman dan GST) JKDM Datuk Zulkifli Yahya berkata setakat ini kira-kira 433,000 syarikat didaftarkan di bawah GST sejak sistem percukaian baharu itu dikuat kuasa pada 1 April 2015.

"Tahun lalu kutipan GST adalah RM 41.2 bilion iaitu melebihi sasaran RM38.5 bilion dan pihak kami akan mengemas kini hasil kutipan dari semasa ke semasa.

"Kami juga akan mengadakan program bagi meningkatkan tahap pematuhan untuk pembayaran GST," katanya kepada pemberita selepas Program Misi Bantuan Banjir Pantai Timur di Sekolah Kebangsaan Baroh Pial di sini, pada Sabtu.

BACA: Kutipan GST dikembalikan semula kepada rakyat untuk kurangkan beban - PM Najib

BACA: Model ekonomi sekarang cukup untuk kekalkan kadar GST - Ali Hamsa


Turut hadir Pengarah JKDM Kelantan Mohd Nasir Yusoff dan Ketua UMNO Rantau Panjang Datuk Abdullah Mat Yasin.

Ditanya mengenai program berkenaan, Zulkifili berkata ia diadakan bagi memberi bantuan kepada mangsa yang terlibat dengan banjir yang melanda negeri pantai timur baru-baru ini.

Zulkifli berkata sebanyak 420 keluarga menerima sumbangan berbentuk bekalan makanan bagi meringankan beban mangsa akibat bencana itu.

-- BERNAMA