Malaysia mampu mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar melebihi lima peratus tahun ini meskipun unjuran semasa adalah antara 4.8 dan 4.9 peratus, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata walaupun perubahan kerajaan di negara lain mencetuskan rusuhan dan demonstrasi jalanan untuk menjatuhkan kerajaan, ini tidak berlaku di Malaysia.

"Di Malaysia, peralihan berjalan lancar, dan kami dapat meneruskan projek-projek dan mengendalikan projek-projek yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu, dan kami boleh merumus strategi baharu atau menggunakan strategi lama yang digunakan sebelum ini," katanya pada sesi 'Masa Depan Malaysia dan ASEAN' yang berlangsung sempena Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN di Bangkok, Thailand.

Wartawan antarabangsa Bloomberg bagi Asia Tenggara, Haslinda Amin, menjadi moderator sesi berkenaan.

Mahathir berkata strategi lama yang digunakan sebelum ini, termasuklah dasar Pandang ke Timur, yang praktikal dan mesra kepada semua negara di dunia tanpa mengira ideologi politik mereka, dan tidak mengganggu hal ehwal dalaman negara lain kecuali mereka melakukan sesuatu yang salah .

Mengenai penyatuan fiskal, beliau berkata ia berjalan baik walaupun kerajaan dipertanggungjawabkan dengan hutang RM1 trilion.

"Kami masih dapat menjalankan urusan kerajaan dan membayar gaji seperti yang biasa lakukan," katanya.

Mengenai reformasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), beliau berkata perubahan dalam sesetengah syarikat tidak dapat dielakkan dan perlu dibuat kerana mereka mengalami kerugian kerana diketuai individu yang ada kaitan dengan politik.

Berikutan kerajaan baharu sekarang, kebanyakan GLC diketuai oleh profesional dengan hanya satu atau dua ahli politik yang layak dilantik sebagai ahli lembaga, tetapi bukan sebagai ketua.

Mengenai sama ada kerajaan akan menggandakan pembayaran dividen daripada Petronas tahun depan, Mahathir berkata ia bergantung kepada berapa banyak keuntungan yang diperoleh.

Beliau berkata kerajaan juga sedang mengkaji untuk menambah baik prestasi GLC dengan mengubah struktur dan arah tuju mereka, menutup syarikat yang tidak diperlukan dan menjual sebahagiannya kepada sektor swasta.

-- BERNAMA