Ekonomi Singapura menguncup sebanyak 2.2 peratus bagi asas tahun ke tahun dalam suku pertama 2020 berbanding peningkatan pertumbuhan 1.0 peratus pada suku sebelumnya.

Malah, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) republik itu bagi 2020 juga terus diturunkan kepada -4.0 peratus dan 1.0 peratus.

Ini berdasarkan kepada anggaran lanjut yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang berdasarkan pengumpulan data dalam tempoh dua bulan pertama suku ini.

Data itu juga bertujuan menjadi petunjuk awal pertumbuhan KDNK dalam suku terbabit dan tertakluk kepada semakan semula apabila maklumat lebih komprehensif diperolehi.

Menurut kementerian itu, sektor pembuatan menguncup 0.5 peratus bagi tahun ke tahun dalam suku pertama, menyederhana daripada penguncupan 2.3 peratus dalam suku sebelum ini.

Prestasi sektor itu dijejaskan oleh penyusutan output atau pengeluaran dalam kluster elektronik dan bahan kimia yang lebih mengimbangi pengembangan output kluster pembuatan bioperubatan dan kejuruteraan tepat atau perincian.

Kelemahan sektor itu berkemungkinan menggambarkan penyusutan permintaan luaran berikutan aktiviti ekonomi global yang lebih perlahan akibat penularan COVID-19, katanya.

Selain itu, sektor pembinaan susut sebanyak 4.3 peratus pada asas tahun ke tahun pada suku pertama berbanding pertumbuhan 4.3 peratus pada suku sebelumnya.

Prestasi itu dijejaskan terutamanya oleh penurunan aktiviti sektor pembinaan swasta, kata kementerian.

Rantaian bekalan yang terjejas dan penangguhan untuk pekerja asing kembali berkhidmat akibat sekatan pergerakan dan perjalanan dilaksanakan oleh negara lain susulan COVID-19, turut memberi kesan terhadap beberapa projek pembinaan itu.

Dalam pada itu, industri perkhidmatan pengeluaran menguncup 3.1 peratus bagi tahun ke tahun dalam suku pertama berbanding pertumbuhan sebanyak 1.5 peratus dalam suku keempat tahun lepas.

Dari segi sektor pula, sektor pengangkutan udara, penginapan, perkhidmatan sajian makanan dan perdagangan runcit juga susut akibat penurunan mendadak kedatangan pelancong selain penggunaan domestik lebih rendah akibat wabak COVID-19.

Pada masa sama, perdagangan borong dan pengangkutan serta penyimpanan, pengangkutan air juga menguncup akibat penurunan permintaan serta rantaian bekalan yang terjejas.

Sektor maklumat dan komunikasi, kewangan dan insurans bagaimana pun terbukti positif walaupun mencatat pertumbuhan lebih suram.

Unjuran pertumbuhan KDNK 2020 disemak turun kepada -0.4 peratus hingga -1.0 peratus itu dibuat dengan mengambil kira prestasi ekonomi Singapura yang lebih rendah daripada jangkaan pada suku pertama serta penurunan mendadak dalam iklim ekonomi luaran dan domestik sejak Februari lepas

Menurut MITI, lingkungan unjuran lebih besar itu turut berdasarkan peningkatan ketidaktentuan dalam ekonomi global berikutan penularan COVID-19, termasuk langkah kesihatan umum yang dilaksanakan kebanyakan negara sejak merebaknya virus itu.

Kementerian itu mengeluarkan unjuran awal KDNK bagi suku pertama, termasuk prestasi yang dicatatkan oleh sektor terbabit, sumber pertumbuhan, inflasi, pekerjaan dan produktiviti, dalam Tinjauan Ekonomi Singapura pada Mei 2020.

Pada Februari, MITI telah menyemak turun unjuran pertumbuhan KDNK bagi 2020 kepada -0.5 hingga 1.5 peratus berikutan penularan COVID-19.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat, akan mengumumkan langkah tambahan untuk pekerja, perniagaan dan isi rumah bagi menangani pandemik COVID-19, pada tengah hari ini.

-- BERNAMA