Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Incorporated) hari ini mengumumkan pelantikan lembaga pengarah baharu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam satu kenyataan, ia berkata lembaga pengarah baharu itu bakal mengantikan lembaga pengarah sebelum ini yang meletak jawatan berkuat kuasa 31 Mei.

Ahli lembaga dipengerusikan setiausaha perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Ia diikuti setiausaha sulit kanan kepada ketua setiausaha kerajaan Datuk Norazman Ayob, dan ketua pegawai operasi Prokhas Sdn Bhd Datuk Kamal Mohd Ali.

Manakala Arul Kanda Kandasamy kekal sebagai presiden 1MDB.

Menurut kenyataan, pertukaran lembaga pengarah ini mencerminkan hala tuju baharu 1MDB sebagai syarikat yang tidak beroperasi dan menumpukan kepada pelan rasionalisasinya termasuk memenuhi bayaran hutang.

MoF Incorporated pada masa sama berkata ia telah melaksanakan cadangan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) bagi meminda artikel penubuhan 1MDB berkuat kuasa 31 Mei.

Ini termasuk pembubaran lembaga penasihat 1MDB, penghapusan Artikel 117 dan penukaran semua rujukan daripada perdana menteri kepada menteri kewangan.

Selain itu, proses pemindahan pemilikan Bandar Malaysia Sdn Bhd, TRX City Sdn Bhd, tanah di Air Itam dan Pulau Indah kepada MoF Inc berjalan lancar.