Kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat menjadi faktor terbesar kepada penyusutan nilai ringgit pada ketika ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang juga Menteri Kewangan mengakui sentimen jangkaan kenaikan kadar faedah Simpanan Persekutuan Amerika Syarikat pada tahun ini turut memberi impak.

"Faktor yang terbesar sekali ialah jangkaan kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat. Seperti mana yang kita tahu baru-baru ini Simpanan Persekutuan AS telah pun menaikkan kadar faedah dengan 25 mata asas dan dijangka akan dinaikkan lagi pada tahun ini," kata Najib dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menurutnya, penyusutan nilai mata wang bukanlah unik kepada negara Malaysia sahaja, malah ia turut dialami mata wang serantau yang mencerminkan pengukuhan dolar Amerika Syarikat.

"Satu lagi adalah kerana pasaran bon kita ini lebih kurang 34 peratus di tangan bukan warganegara. Ini merupakan satu kebaikan dan satu ancaman.

"Umpanya dengan pertengahan pertama 2016, kita tengok nilai mata wang kita, ringgit prestasinya antara yang terbaik di dunia.

"Tetapi apabila Amerika Syarikat dijangka menaikkan kadar faedah, maka bukan warganegara yang memegang bon yang ada di pasaran kita telah buat portfolio keseimbangan semula. Dengan ini permintaan wang keluar dan permintaan dolar Amerika bertambah," katanya.

Justeru katanya, Kerajaan sentiasa memastikan pasaran pertukaran matawang asing tidak terjejas supaya kegiatan ekonomi berjalan lancar.

"Pada masa yang sama, kedudukan rezab Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah USD95 bilion akan terus menjadi penampan kepada turun naik yang berlebihan dalam pasaran kewangan," tambahnya.