Kerajaan meluluskan permohonan Proton untuk mendapatkan pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed memaklumkan sebahagian besar daripada pinjaman itu bagi membolehkan pengeluar kereta nasional tersebut membuat pembayaran kepada vendor komponen.

Menurut Mustapa, beberapa syarat turut dikenakan kepada Proton untuk memulihkan perniagaan.

Antaranya, Proton perlu meyakinkan kerajaan mengenai model perniagaan baharunya supaya perniagaan berdaya maju dan berdaya saing.

Dalam satu kenyataan, Mustapa berkata secara khususnya Proton antara lain perlu mewujudkan pelan penstrukturan semula syarikat serta menyediakan pelan strategik untuk memperluaskan pasaran di dalam dan luar negara.

Selain itu, Proton juga perlu mendapatkan rakan kongsi asing terkemuka yang akan membantu dalam penyelidikan dan pembangunan serta menjadi syarikat yang berdaya maju serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Tambahnya, sebuah pasukan petugas yang diketuai ketua eksekutif, Unit Pengurusan Prestasi dan pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala akan ditubuhkan untuk memastikan program transformasi ini berjaya.

Ia akan mempunyai tiga wakil, masing-masing dari sektor swasta dan sektor awam.

Wakil kerajaan ialah bagi mewakili kementerian kewangan, MITI dan Unit Perancang Ekonomi manakala wakil sektor swasta akan dikenal pasti secepat mungkin.

Katanya, selain memastikan syarat-syarat pinjaman mudah dipatuhi, pasukan petugas ini juga dikehendaki meneliti model perniagaan Proton pada masa lepas, mengenal pasti kelemahan serta langkah untuk mengatasinya.