Kerajaan berhasrat meningkatkan purata pendapatan isi rumah bulanan rakyat kepada RM10,540 seisi rumah menjelang 2020.

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, ini sejajar dengan matlamat kerajaan untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tempoh yang sama.

Beliau berkata ini merupakan sasaran peningkatan sebanyak 41.7 peratus berbanding purata pendapatan isi rumah bulanan sebanyak RM6,141 pada tahun 2014.

Menurut Wahid di samping pertumbuhan ekonomi, kerajaan turut menitikberatkan aspek mesra rakyat dalam matlamat pertumbuhan bergerak ke hadapan.

“Dalam Rancangan Malaysia ke-11, kita tidak hanya meletakkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebagai sasaran tetapi juga pertumbuhan lain seperti purata pendapatan isi rumah bulanan,” kata beliau.

Selain itu kata beliau, kerajaan juga berhasrat meningkatkan pendapatan minimum golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Kami telah berjaya meningkatkan pendapatan minimum golongan B40 dengan agak ketara, daripada tahap RM1400 pada tahun 2009 kepada kira-kira tahap RM2500 pada tahun 2014.

Tetapi mungkin itu tidak mencukupi, jadi sasaran kami adalah untuk menggandakan pendapatan isi rumah golongan ini sehingga ke peringkat RM5200 bagi setiap keluarga,” tegas beliau.

Beliau berkata ini sebahagian dari matlamat kerajaan untuk meningkatkan faedah ekonomi kepada rakyat kepada 40 peratus dari kadar 35 peratus kini, menerusi peningkatan peratusan gaji kepada KDNK.

Wahid bagaimanapun berkata, kerajaan perlu berhati-hati dalam mengejar matlamat ini agar tidak menyebabkan kos buruh negara terlampau tinggi sehingga menyebabkan kekurangan daya saing negara.

Dalam pada itu menyentuh mengenai sasaran Bajet 2016, Wahid berkata kerajaan mungkin perlu menilai semula sasaran defisit fiskal 3.2 peratus untuk tahun ini, sekiranya harga minyak mentah dunia kekal lemah.

Walaubagaimanapun kata beliau, kerajaan perlu melihat pergerakan harga minyak sehingga sekurang-kurangnya Januari tahun hadapan sebelum membuat sebarang keputusan.

Tambah beliau sekiranya ini berlaku, ianya mungkin turut memberi kesan kepada sasaran desifit fiskal kerajaan 3.1 peratus yang diletakkan kerajaan bagi 2016.

Beliau bagaimanapun yakin bahawa harga minyak mentah akan melantun semula berdasarkan kitaran semulajadi harga komoditi.

“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, pergerakan harga minyak tertakluk kepada prinsip asas ekonomi; ia mengenai bekalan, permintaan, kos pengeluaran, geopolitik juga.

Jadi saya percaya harga minyak tidak akan berada di tahap yang rendah untuk tempoh yang lama.

Akan datang satu masa apabila harga minyak perlu meningkat kembali kerana hasil dan harga minyak mestilah lebih tinggi daripada pengeluaran kos,” kata beliau.

Beliau menambah, kerajaan telah mencapai banyak kemajuan dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pendapatan dari sektor minyak dan gas setakat ini.

Menurut beliau tahun ini sektor minyak dan gas menyumbang 19.3 peratus kepada pendapatan kerajaan, berbanding 30 peratus tahun lalu.

Sementara ia juga dijangka menyumbang hanya 14 peratus kepada pendapatan kerajaan menjelang 2016.

Wahid menegaskan, pada masa yang sama, kerajaan akan terus mengguna pakai pelbagai polisi proaktif demi mengurangkan pendedahan ekonomi negara kepada ketidaktentuan harga minyak yang dijangka kekal lemah sehingga akhir 2016.