Berita  | Bisnes

Kerajaan P.Pinang alu-alukan pelabur mahu promosi produk mesra alam

Kerajaan P.Pinang alu-alukan pelabur mahu promosi produk mesra alam
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata sumbangan daripada sektor swasta sangat penting pada masa ini, selari semangat penduduk Pulau Pinang.
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang mengalu-alukan pelabur tempatan dan asing yang mahu mempromosi produk berkonsep pintar dan mesra alam.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata sumbangan daripada sektor swasta sangat penting pada masa ini, selari semangat penduduk Pulau Pinang yang semakin tinggi untuk melihat konsep itu direalisasikan.

Beliau berkata beberapa syarikat telah tampil untuk memainkan peranan mereka dalam memenuhi konsep ini.
"Selaras visi Pulau Pinang sebagai negeri bersih dan mesra alam, kami gembira mengetahui bahawa syarikat korporat dan syarikat tempatan turut menyumbang untuk merealisasikan matlamat itu," katanya semasa melancarkan bilik pameran motosikal elektrik NIU di sini pada Ahad.

Chow berkata bilik pameran, yang dibangunkan hasil kerjasama antara syarikat tempatan, MForce Bike Holdings Sdn Bhd, dan NIU International of China, akan mengetengahkan skuter elektrik pertama di dunia.

Beliau berkata walaupun kerajaan Pulau Pinang menggalakkan penggunaan pengangkutan awam sebagai cara untuk mengurangkan kesesakan serta meningkatkan amalan mesra alam, masih ada cara lain yang boleh dimulakan untuk mempromosikan amalan baik itu.

Beliau berkata pengenalan skuter elektrik merupakan antara kaedah untuk mempromosi amalan mesra alam memandangkan Pulau Pinang berhasrat meneruskan kemajuan ekonomi dengan tumuan yang untuk memulihara alam sekitar.

Justeru, idea menggalakkan penggunaan skuter elektrik sangat dialu-alukan, katanya.

MForce Bike Holdings dan NIU International bergabung untuk memperkenal skuter elektrik pertama di dunia, NIU, kepada rakyat Malaysia, terutama di Pulau Pinang.

Turut hadir Pengurus Besar (Operasi) MForce Bike Holdings (operasi) Asri Ahmad, Pengarah Pasaran Luar Negara NIU Kasper Zhao, Naib Presiden Persatuan Peniaga Motosikal dan Skuter Malaysia, Lim Hock Chye dan exco negeri Phee Boon Poh.

-- BERNAMA

Tag: Ketua Menteri, Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, ekonomi, rakyat Malaysia, Malaysia, Kerajaan Pulau Pinang, syarikat swasta, NIU, China


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.