Kementerian Kewangan (MoF) belum menerima permohonan rasmi daripada kerajaan negeri Pulau Pinang mengenai hasratnya untuk memohon pinjaman daripada Export-Import Bank of China (EXIM) bagi membiayai projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM27 bilion.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kerajaan pusat tidak ada masalah dengan permohonan itu, selagi entiti yang memohon pinjaman, bersedia untuk membuat pembayaran balik.

"Namun ia perlu mengikut prosedur yang betul, bukan sahaja di peringkat MoF, malah perlu mematuhi prosedur Bank Negara dan proses lain.

"Ini bagi memastikan peminjam dapat bertahan atau membayar balik daripada keuntungan perniagaan yang dijalankan di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perakaunan Sektor Awam 2017 di sini hari ini.

Beliau berkata peminjam juga perlu memastikan kewajarannya membuat permohonan dari luar negara, sedangkan terdapat kecairan yang tinggi dalam negara.

Laporan pada Mei lepas menyebut Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang meluluskan rang Undang-undang bagi membolehkan kerajaan negeri membuat pinjaman daripada bank atau institusi kewangan.

Ketua Mentdri Lim Guan Eng dilaporkan berkata pinjaman itu terutamanya akan digunakan untuk membiayai pelaburan dan pelaksanaan pembangunan fizikal, ekonomi dan sosial untuk negeri, termasuk PTMP dan projek lain yang berkaitan.

-- BERNAMA