Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Tun Daim Zainuddin menyifatkan pembayaran dividen khas oleh syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kepada kerajaan sebanyak RM30 bilion tidak akan membebankan syarikat gergasi petroleum negara itu.

Malah jelasnya pembayaran tersebut juga tidak akan merencatkan keupayaan Petronas untuk membayar hutang korporat, pelaburan dan operasinya.

Ini kerana jelasnya agensi penarafan antarabangsa dan Petronas sebenarnya lebih memahami kekuatan dan keupayaan semasa Petronas ketika ini.

“Mereka (kerajaan) bukannya merompak apa-apa daripada Petronas. Mereka telahpun berbincang dan Petronas telah menyatakan bahawa mereka bersetuju dan Petronas mampu membayarnya.

"Jadi mengapa mereka perlu dikritik? Sedangkan syarikat itu sendiri telah mengatakan bahawa mereka mampu melakukannya. Siapakah yang lebih mengetahui tentang hal syarikat tersebut selain pihak pengurusannya,” katanya selepas memberi ucaptama pada persidangan Affin-Hwang Capital Conference Series 2018 di ibu negara hari ini.

BACA: Jangan jarah dana Petronas untuk tampung pemansuhan GST - Najib

Tambah beliau, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ada sekarang idak akan membazirkan dividen khas yang disumbangkan oleh Petronas sebaliknya hasil tersebut akan dikembalikan ke dalam pembangunan ekonomi negara.

Kenyataan Daim itu merujuk kepada kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Parlimen sebelum ini bahawa Petronas akan membayar dividen tersebut kepada kerajaan.