Kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilihat sebagai satu usaha yang bertepatan dengan penerapan budaya menyimpan dalam kalangan pendidik.

Menurut Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani, usaha itu dizahirkan dengan penyampaian Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2020 bagi menghargai pengorbanan mereka yang tidak mengenal erti penat lelah dalam mencurahkan ilmu kepada anak bangsa.

“Penyampaian kedua-dua anugerah ini bertujuan untuk menghargai jasa, sokongan serta kesetiaan Puan Nor Hainei dan Haji Aminuddin yang telah banyak menyumbangkan keringat dan tenaga mereka dalam membentuk generasi akan datang,” kata beliau.

Tambahnya lagi, pencapaian cemerlang penerima anugerah dalam pelbagai bidang telah melayakan Nor Hainei Abu Bakar dan Haji Aminuddin Adam untuk membawa pulang anugerah berprestij tersebut.

Jelas beliau, kedua-dua penerima tersebut dianugerahkan dengan Sijil Simpanan Premium BSN berjumlah RM50,000 yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Di Pejabat Perdana Menteri Malaysia pada Sabtu.

Selain anugerah tersebut, BSN sebelum ini turut menjalankan Kempen Kad Kredit BSN Teachers Mastercard yang berlangsung selama enam bulan bermula sejak 1 September 2019 sehingga 29 Februari 2020.

Ia bertujuan untuk menghargai sokongan serta kesetiaan semua ahli yang berdaftar dengan peluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik.