Kerjasama antara produksi China dan Malaysia yang termeterai pada Selasa menyasarkan penghasilan pelbagai projek hiburan kebudayaan bernilai RM3 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Kerjasama antara Malaysian Months Studio Sdn Bhd (produksi Malaysia) dengan Golden Shield Television dan Changsa LeFeng Culture Communication Co. Ltd (produksi China) terjalin sempena pembikinan filem aksi berjudul "Beyond Life and Death".

Penerbit filem Golden Shield Television Centre Peggy Lee Ji Wen berkata filem bernilai RM237 juta itu merupakan salah satu projek hiburan kebudayaan yang dirancang sempena kerjasama itu, di samping penghasilan drama, program dan pelbagai aktiviti lain.

"Ia akan diikuti dengan sebuah lagi filem fiksyen sains bertajuk 'Tianjin Death Explosion and Resurrection Day' yang bernilai kira-kira RM400 juta.

"Penggambaran filem ini bermula tahun depan, dan ia dilihat dapat meningkatkan hubungan serta perkembangan industri hiburan dua negara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik Siri Projek Budaya Antara Malaysia dan China, di Forest City, pada Selasa.

Lee, yang telah menerbitkan filem yang terkenal seperti Kungfu Hustle dan The Captain berkata, pembikinan filem aksi (Beyond Life and Death) itu merupakan projek pertama yang 90 peratus dilakukan di negara ini terutamanya di Johor.

Sementara itu, Pengerusi Changsa LeFeng Culture Communication, Shi Cai Wen berkata dia teruja untuk bekerjasama dengan produksi Malaysia (Months Studio) yang mempunyai banyak pengalaman dan bertekad menghasilkan filem blockbuster itu.

"Kami sangat kagum dengan budaya dan landskap Malaysia dan membuatkan kami berhasrat untuk menggabungkan kepakaran ini ke dalam filem," katanya.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan Solehuddin Ahmad pula berkata kerjasama antarabangsa ini akan meningkatkan kadar kunjungan pelancong ke Malaysia terutama negeri Johor.

Menurut beliau, terdapat banyak lokasi indah dan ikonik yang boleh menjadi tempat penggambaran seperti Pantai Desaru, rekaan bangunan lama di Heritage Street, pasar karat serta reka bentuk Victorian Moorish Masjid Sultan Abu Bakar dan banyak lagi.

-- BERNAMA